Pages

22 Januari 2013

Semoga bantuan RM100 kekal selamanya

KETIBAAN tahun 2013 disambut setiap rakyat Malaysia dengan bermacam harapan dan cabaran tetapi sedikit berbeza bagi kanak-kanak di alam persekolahan kini yang menikmati bantuan baharu daripada kerajaan.
Bantuan persekolahan RM100 yang diberikan tahun ini merupakan kesinambungan peruntukan serupa yang bermula tahun lalu di samping Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Klinik 1Malaysia dan bermacam lagi bantuan melalui jenama gagasan 1Malaysia Perdana Menteri.
Kira-kira 5.3 juta pelajar sekolah pelbagai peringkat menikmati bantuan berbentuk tunai itu dengan peruntukan RM530 juta tahun lalu dan tahun ini peruntukan RM540 juta disediakan untuk tujuan sama mengikut jumlah pelajar sekolah menengah dan rendah di seluruh negara.
Sejajar dengan tema 'Janji Ditepati', bantuan persekolahan itu merupakan sebahagian daripada pelbagai bentuk bantuan baharu bagi meringankan beban rakyat dalam situasi kemelesetan global serta kenaikan harga minyak dan barang keperluan lain.
Dalam memastikan bantuan disalur secara adil dan saksama, Datuk Seri Najib Tun Razak menetapkan semua murid dan pelajar akan menerima RM100 setiap seorang tanpa mengira bangsa, agama, miskin atau kaya mahupun fahaman politik ibu bapa mereka.
Setiap sekolah diberikan peruntukan mengikut rekod bilangan pelajar walaupun jika ada ibu bapa yang tidak mahu mengambilnya, kerana ini satu ketetapan kerajaan memberi balik kepada rakyat atas sokongan mereka selama ini.
Jika tahun lalu bermacam kerenah dan cabaran ditempuhi dalam menyalurkan bantuan itu, peruntukan untuk tahun kedua ini nampaknya lebih teratur bagi memudahkan urusan murid, ibu bapa dan juga pengurusan sekolah.
Bagi Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Nasional (PIBGN), Prof. Madya Dr. Mohd. Ali Hasan, jelas kelihatan semua pihak gembira dengan keputusan kerajaan menyambung program bantuan persekolahan tersebut.
"Kita berharap di tahun-tahun berikutnya, program sebegini diteruskan lagi dan bukan hanya ketika musim demam pilihan raya sahaja.
"Bantuan ini bukan sahaja mengurangkan beban ibu bapa, ia juga memberi keceriaan kepada anak-anak dan menjadi satu motivasi untuk belajar," katanya.
Beliau bagaimanapun menasihatkan ibu bapa memantau perbelanjaan wang tersebut dengan mengoptimumkan penggunaannya untuk barang dan urusan sekolah.
Tambahnya, ibu bapa boleh berbincang dengan anak-anak sebelum mengambil wang tersebut bagi menentukan cara terbaik menggunakannya.
Beliau turut mencadangkan untuk tahun-tahun berikutnya, ibu bapa yang berkemampuan boleh membudayakan menabung jumlah sama yang diberikan kerajaan sebagai motivasi tambahan untuk pendidikan anak-anak.
"Jika diberikan dalam bentuk simpanan mungkin tidak sesuai memandangkan jumlah tersebut diperlukan kebanyakan ibu bapa untuk tahun persekolahan baharu anak-anak mereka.
"Walau apa pun yang dirancang dan dilaksanakan, cuma pastikan nilai RM100 itu dinikmati sepenuhnya setiap murid untuk ke sekolah, jangan pula digunakan untuk urusan peribadi ibu bapa atau potongan oleh mana-mana pihak lain," tegasnya.
Beliau berharap tidak berlaku lagi masalah potongan tidak sah seperti untuk sumbangan PIBG memandangkan bayaran tersebut perlu mengikut prosedur berbeza dan wajib mendapat persetujuan pihak atasan terlebih dahulu.
Mohd. Ali juga menegur pihak yang menganjurkan majlis besar-besaran untuk penyerahan bantuan RM100 itu kerana dikhuatiri akan menghakis pula peruntukan sekolah yang boleh digunakan untuk perkara lain yang lebih berfaedah.
"Kalau adakan majlis, biar sederhana cukuplah. Ahli politik juga boleh hadir menyampaikannya tetapi jangan sampai menjadi agenda politik pula.
"Di Tawau baru-baru ini, untuk majlis penyerahan bantuan RM100 itu mereka jemput PIBGN berucap mengingatkan ibu bapa dan murid tentang peranan serta tanggungjawab mereka. Mungkin program berfaedah seumpamanya dapat diadakan semasa penyerahan bantuan tersebut," ujarnya.
Beliau juga berharap pihak sekolah memberikan kelonggaran dari segi masa untuk ibu bapa hadir mengambil bantuan tersebut memandangkan masing-masing mempunyai waktu kerja berbeza dan kadang kala tidak mengizinkan jika hanya pada satu masa khusus sahaja.
"Jika bantuan ini dapat diteruskan tahun depan, saya cadangkan kerajaan menggunakan sistem baucer menggunakan nama murid terbabit bagi menjamin mereka menikmatinya dan hanya untuk barang atau urusan sekolah," katanya.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan (NUTP), Hashim Adnan turut berkongsi pendapat sama memandangkan sistem baucer lebih mudah digunakan di kedai-kedai mahupun pasar raya.
"Kita tidak mahu kerajaan beri RM100, separuh jalan balik singgah beli makanan segera, beli mainan, isi minyak kereta dan ada juga ibu bapa guna beli beras dan barang dapur lain.
"Bukannya menghalang ibu bapa beli macam-macam menggunakan wang bantuan itu tetapi bukankah lebih elok digunakan untuk persekolahan anak dan bukan yang tidak berkaitan," jelasnya.
Beliau merasakan cara lebih elok adalah menggunakan baucer atau kupon untuk membeli baju, beg, kasut, alat tulis dan bermacam peralatan sekolah lain di kedai atau pasar raya terpilih.
Untuk tidak memerah kerajaan sahaja dalam membantu rakyat, beliau mencadangkan penyertaan pihak swasta khususnya pasar raya besar seperti Giant, Aeon (dahulu Jusco), The Store atau mana-mana rantaian kedai lain yang mempunyai semua barang keperluan sekolah turut menyumbang.
"Pasar raya atau rangkaian kedai ini tidak perlu keluarkan wang, cuma berikan potongan harga khas jika menggunakan baucer tersebut di kedai mereka, hadiah mahupun diskaun tambahan untuk barang-barang lain jika baucer itu ditebus di kedai mereka.
"Dengan cara itu, lebih ramai ibu bapa akan ke sana dan berbelanja bukan sahaja untuk keperluan sekolah anak. Sambil untung untuk peningkatan jualan, kedai-kedai ini juga memberi balik kepada masyarakat," tegasnya.
Hashim juga berharap jika program tersebut diteruskan, kerajaan dapat menimbangkan penambahan bantuan mengikut keperluan murid memandangkan perbelanjaan dan keperluan pelajar tingkatan satu tidak sama dengan pelajar tingkatan lima.
"Jika ada peruntukan lebih, mungkin kerajaan boleh beri RM150 kepada pelajar tingkatan lima (atau jumlah bersesuaian) berbanding pelajar lebih kecil dan muda, memandangkan saiz baju dan pemakanan mereka juga berbeza-beza.
"Apapun, budak peringkat manapun, sampai dewasa, siapa tidak seronok dapat duit. Ibu bapa pun datang beramai-ramai, bantuan ini menggembirakan ramai pihak," katanya.
Beliau merasakan bantuan itu perlu diteruskan kelak bagi mematahkan tanggapan ia cuma ketika musim pilihan raya, seterusnya menjadi contoh kepada dunia.
"Malaysia melakukan sesuatu yang tidak berlaku di mana-mana tempat lain seluruh dunia, memberi nilai kewangan di permulaan alam persekolahan dan meringankan beban ibu bapa.
"Ini menunjukkan kerajaan kita begitu prihatin agar para pelajar dapat belajar dalam suasana selesa. NUTP harap bantuan ini berpanjangan, kekal abadi sampai bila-bila," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan