Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Nakhaie Ahmad (gambar) ketika mendedahkan perkara itu berkata, tanpa akaun yang lengkap, adalah sukar untuk mengetahui jumlah wang yang diterima, sumber derma diperoleh dan ke mana wang dibelanjakan sekali gus dibimbangi boleh menjurus kepada penyelewengan.
"Dulu tiada akaun yang lengkap dalam kutipan Tabung Memali, jadi kita sukar mahu kesan berapa banyak yang diterima atau berapa banyak sudah dibelanjakan.
"Tetapi saya tak tahu pula jika selepas itu mereka ada buat akaun yang lengkap," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini berhubung desakan bekas ahli Pas, Zainon Ismail atau CN Al-Afghani terhadap pucuk pimpinan parti itu agar menyiasat dakwaan penyelewengan Tabung Memali yang bernilai jutaan ringgit.
Zainon yang merupakan salah seorang daripada tiga individu yang bertanggungjawab menguruskan Tabung Memali tampil membuat desakan itu selepas tidak sanggup lagi melihat hak serta harta anak-anak yatim, balu dan mangsa Memali 'diratah' pihak lain.
Ketika ditanya adakah wujud kemungkinan derma Tabung Memali digunakan untuk kerja-kerja parti atau kegunaan individu, Nakhaie sekadar berkata: "Wallahualam. Tiada akaun lengkap, sukar hendak dikesan".
Menurut Nakhaie, tanpa akaun yang lengkap, penyelewengan Tabung Memali mungkin berlaku dan tidak mustahil Pas akan berusaha menyembunyikan fakta berhubung derma tersebut.
"Bagaimana hendak mentadbir negara kalau tidak amanah. Wallahualam," katanya.
Sementara itu, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali berkata, kutipan derma perlu direkodkan dengan lengkap kerana perkara tersebut merupakan sumbangan orang ramai yang diamanahkan kepada parti berkenaan.
"Pas perlu melakukan siasatan terhadap dakwaan berlaku penyelewengan itu. Ini adalah amanah orang ramai. Mereka perlu mempunyai sistem kewangan yang telus dan bersih," katanya.
Bekas Ahli Jawatankuasa Pas Kawasan Teluk Kemang, Mohd. Hidzir Othman pula berkata, Pas wajar memanggil semua ahli yang terlibat dalam pengurusan tabung berkenaan dan menyiasat dakwaan berhubung berlaku penyelewengan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan