Pages

20 Januari 2013

Usah tertipu helah pembangkang

BAGAN DATOH 18 Jan. - Rakyat diingatkan tidak terpedaya dengan helah pembangkang yang cuba memesongkan fikiran umum dengan mempolitikkan isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, RCI itu tidak menjadi kesalahan selagi proses memberikan hak kerakyatan kepada warga asing dibuat mengikut lunas undang-undang malah negara lain seperti Singapura turut berbuat demikian.
"Jangan memesongkan pandangan rakyat terhadap sesuatu yang tidak menjadi isu tetapi dijadikan isu demi kepentingan pembangkang untuk meraih undi dalam pilihan raya umum akan datang.
"Saya mahu rakyat berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk menerima hakikat Barisan Nasional (BN) selama 55 tahun memerintah telah melakukan sebaik-baiknya untuk seluruh rakyat," katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Khas Awal Persekolahan 2013 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, RCI itu tidak seharusnya dipolitikkan kerana terdapat 167 saksi akan dipanggil memberikan keterangan.
Tambah beliau, pembangkang juga sepatutnya bersikap profesional dengan mengutarakan cadangan mahupun pandangan membina dan bukannya mempolitikkan sesuatu perkara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan