SHAH ALAM 7 Feb. - Bimbang dengan kemungkinan terhakisnya pengaruh kuasa politik orang Melayu di negara ini, parti Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa) yang satu ketika dahulu pernah mewarnai politik Kelantan, mengambil keputusan untuk turut bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.
Penasihatnya, Dr. Sultan Abdul Kadir berkata, pada pilihan raya umum kali ini, Berjasa akan menurunkan calon-calon beragama Islam di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai majoriti pengundi Melayu tetapi ditandingi oleh calon bukan Islam.
Menurut beliau, parti tersebut telah mengenal pasti sebanyak 25 kerusi Parlimen dan 40 kerusi DUN di seluruh Semenanjung untuk ditandingi.
Katanya, pengumuman rasmi Berjasa untuk bertanding dalam PRU-13 akan dilakukan sewaktu sidang akhbar di ibu kota pagi esok.
"Kita akan turun padang dengan meletakkan calon-calon Melayu. Sebab kalau kita orang Melayu memberikan undi kepada orang bukan Islam, apabila menang, adakah mereka bercakap untuk membela Islam di dalam Parlimen?
"Jadi ini satu cabaran bagi membuktikan adakah mereka (bukan Melayu) boleh menang di kerusi majoriti orang Melayu kalau mereka tidak mendapat sokongan orang Melayu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Berjasa yang ditubuhkan pada 1977 merupakan parti alternatif kepada Pas di Kelantan dengan Yang Dipertua pertamanya adalah Allahyarham Datuk Mohammad Nasir.
Pada 1978, Berjasa menyertai pilihan raya umum dengan bekerjasama dengan BN dan berjaya memenangi 11 kerusi DUN lantas membentuk kerajaan bersama dengan UMNO/BN.
Dalam PRU 1982, sekali lagi Berjasa membentuk kerajaan bersama dengan BN setelah menang enam kerusi DUN, namun tidak menyertai PRU 1986 kerana telah keluar daripada BN. Berjasa kemudian telah bekerjasama dengan Angkatan Perpaduan Ummah sewaktu PRU 1990 sehingga 1999.
Selasa lalu, sebuah pertubuhan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) turut mengumumkan buat kali pertama akan menurunkan calon dalam PRU-13 dengan tumpuan diberikan bagi memastikan undi orang Melayu benar-benar dimanfaatkan untuk kepentingan Islam.
Sultan yang juga Penasihat Madrasah India Muslim berkata, Berjasa tidak akan menentang calon-calon Melayu sama ada daripada UMNO atau Pas sebaliknya hanya menumpukan kerusi yang ditandingi calon bukan Islam.
"Saya bukan Melayu tetapi India Muslim tetapi saya menganggap bahawa orang Melayu mempunyai hak untuk bertanding di kawasan mereka majoriti kerana mereka adalah pemilik asal negara ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan