AWANG tidak terkejut dengan desas-desus Majlis Syura Pas menolak Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang menang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Ia merupakan perkembangan terbaru, yang turut mengundang kebimbangan PKR dan DAP.
Khabarnya, Presiden Pas, Hadi Awang tidak membantah pendirian Majlis Syura, yang hanya akan diterjemahkan apabila tiba masanya.
Majlis Syura adalah badan tertinggi dalam Pas yang kuasanya mengatasi Presiden dan Mursyidul Am.
Pendirian Anwar bersama-sama pemimpin DAP menyokong penggunaan kalimah Allah untuk bukan Islam, menyebabkan Majlis Syura semakin menolak beliau.
Siapa pilihan Majlis Syura? Mereka tetap mahukan Hadi dan seorang lagi tokoh luar daripada pakatan pembangkang. Dengar cerita, calon lain juga boleh dipertimbangkan asalkan bukan Anwar.
Bagaimanapun kumpulan pro-Anwar (Anwarinas) dalam Pas tidak senang dan tetap mahukan pemimpin PKR itu menjadi Perdana Menteri. Anwar pula dikatakan tersentak apabila mendapat tahu perkara itu.
Jika benar, Awang tabik Majlis Syura. Memang itu keputusan paling wajar. Pas tidak boleh kelihatan mengangkat pemimpin yang mempunyai masalah moral yang serius sebagai Perdana Menteri.
Tiada negara termasuk di Barat yang lebih liberal, mengizinkan pemimpin kategori itu menjadi ketua kerajaan. Pemimpin mesti bersih dan kelihatan bersih.
Awang melihat pendirian Majlis Syura itu bukan sahaja akan menyelamatkan negara, Islam malah juga kedudukan Pas yang kini berisiko tumbang.
- AWANG SELAMAT
Tiada ulasan:
Catat Ulasan