Pages

21 Februari 2013

Dakwa video Anwar palsu bukti PKR terdesak

KUALA LUMPUR 19 Feb. - Dakwaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kononnya video ucapan Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memperkecil ilmu agama Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai palsu adalah bukti parti itu cukup terdesak.
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, penafian itu jelas menunjukkan parti tersebut terpaksa menggunakan jurucakap bagi pihak Anwar, dalam usaha PKR menenangkan penyokong Pas yang kini marah dengan kenyataan berkenaan.
"Siapa yang kenal, pasti tahu tentang perangai Anwar yang gemar mengeluarkan kenyataan seperti itu bagi menarik sokongan semasa berucap. Anwar sentiasa bercakap sesuatu yang berbeza, di kawasan berbeza bagi mendapat perhatian khalayak berbeza.
"Jika benar PKR mendakwa video ucapan Anwar tersebut adalah palsu mengapa parti itu tidak mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman media dan penulis blog yang menyiarkan video itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendedahan sebuah akhbar berbahasa Inggeris, The Star yang menyiarkan ucapan Anwar didakwa memperkecil ilmu agama Presiden dan Timbalan Mursyidul Am Pas itu berhubung kontroversi isu kalimah Allah.
Menerusi rakaman video dipercayai ketika berucap di hadapan komuniti bukan Islam di Sabah, baru-baru ini Anwar dengan jelas berkata: "Nik Aziz no longer understands Islam. Hadi Awang too. He just follows (Nik Aziz tidak lagi faham Islam. Hadi juga. Dia hanya mengikut),"
Mengulas lanjut, Abdul Latiff berkata, pendedahan video tersebut satu lagi bukti bagaimana Anwar hanya memperalatkan Pas demi kepentingan politiknya, justeru beliau menyeru penyokong parti berkenaan menolak Ketua Pembangkang itu pada pilihan raya umum akan datang.
"Terang-terang Pas kini hanya menjadi kuda tunggangan kepada PKR dan DAP yang mana Pas seperti tidak mempunyai sebarang kepentingan kepada mereka, jadi nasihat saya cukup-cukuplah, jangan terus diperbodohkan, takut nanti menyesal tiada guna," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan