Pages

25 Februari 2013

Enjin pertumbuhan negara

Kiri:AZRULNIZAM, Kanan:KHAIRUL ANWAR 
*****
Mukadimah
SISTEM perbankan Islam di negara ini sejak diperkenalkan pada 1983 sudah melalui fasa pembangunan dan kejayaan yang begitu membanggakan. Sebagai antara negara terawal yang menggunakan sistem perbankan Islam, sebagai rakyat Malaysia kita perlu berbangga dengan kejayaan anak-anak tempatan yang turut sama terlibat sebagai pemangkin sistem ini yang kini diterima di serata dunia.
Dalam wawancara bersama Ketua Pegawai Eksekutif Bank Al Rajhi, DATUK AZRULNIZAM ABDUL AZIZ dan Pengerusi Khairul Group, DATUK KHAIRUL ANWAR RAHMAT kedua-dua mereka bersependapat bahawa sudah sampai masanya untuk sistem perbankan Islam bukan lagi sekadar menjadi pemangkin malah mampu pergi jauh untuk menjadi sebagai enjin pertumbuhan ekonomi negara.
Bersama wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID, kedua-dua mereka menghuraikan lebih lanjut mengenai kekangan dan cabaran serta masa depan sistem perbankan Islam di negara ini.
BAGAIMANA Datuk melihat perkembangan perbankan Islam di negara ini?
AZRULNIZAM: Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa Malaysia merupakan negara pertama yang memperkenalkan sistem perbankan Islam di Asia Tenggara dan diperkenalkan di Malaysia dengan enakmen Akta Perbankan Islam 1983 dan Akta Takaful 1984. Pada 1983 terdapat hanya satu bank iaitu Bank Islam dengan jumlah sumbangan kurang dari 1 peratus. Bagaimanapun sehingga penghujung 2012, perbankan Islam telah berkembang pesat dengan jumlah aset 24.2 peratus (RM469.5 bilion) daripada jumlah keseluruhan aset perbankan di Malaysia.
Bersandarkan kepada keadaan ini pihak yang mengawalselia seperti Bank Negara telah menyediakan pelbagai inisiatif yang berterusan atas kapasiti sebagai badan penyeliaan untuk memperkukuhkan lagi rangka kerja tadbir urus. Selain itu pengukuhan tadbir urus dan pengawalseliaan melibatkan soal kecukupan modal, kepatuhan kepada syariah dan rangka kerja kecairan dan pengurusan risiko yang cekap cukup membantu dalam memacu industri sehingga ke tahap sekarang
Ada pihak yang melihat keadaan perbankan Islam seolah-olah sudah mencapai zon selesa. Namun sebenarnya apakah bentuk cabaran yang menanti dalam industri ini?
KHAIRUL ANWAR: Memang ada yang beranggapan sedemikian namun hakikatnya perbankan Islam semakin kompetitif mengikut perubahan zaman dan semakin diterima oleh masyarakat di seluruh dunia. Bagaimanapun seiring dengan kehendak semasa beberapa masalah dan cabaran timbul mengakibatkan kita perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan bagi mengukuhkan kedudukan industri ini di dalam negara selain memartabatkan kedudukan perbankan Islam di mata dunia. Antara masalah dan cabaran yang perlu ditangani adalah dalam soal pengurusan kecairan dalam kewangan Islam. Ini kerana bank-bank Islam menghadapi cabaran dalam menguruskan ketidakpadanan aset dan liabiliti kerana hampir tiada produk patuh - syariah jangka pendek dipasaran wang dan pasaran repo Islam di peringkat global.
Selain itu, produk kewangan Islam juga masih kekurangan volume di pasaran mungkin boleh memberi sedikit kesan berbanding sistem konvensional. Satu lagi cabaran yang perlu ditempuhi melibatkan instrumen pelaburan yang agak terhad. Ini kerana instrumen pelaburan yang patuh syariah masih agak terhad berbanding konvensional. Dan satu lagi cabaran yang tidak boleh dipinggirkan adalah persepsi masyarakat bahawa perbankan Islam hanya untuk orang Islam. Persepsi ini perlu dikikis kerana tidak wujud sebarang halangan untuk mereka yang bukan Islam untuk terlibat dalam perbankan Islam. Jika persepsi ini berjaya dikekang sudah tentu masa depan perbankan Islam akan lebih berkembang selain mampu menjanjikan pulangan yang lebih lumayan untuk semua golongan masyarakat tanpa sebarang perbezaan antara orang Islam dan bukan Islam.
Mungkin ada cabaran lain yang perlu dihadapi untuk mengekalkan momentum pertumbuhan perbankan Islam?
AZRULNIZAM: Satu perkara yang saya mahu tekankan adalah jumlah tenaga kerja pakar yang terhad memandangkan industri ini semakin berkembang tetapi pengembangan tersebut tidak seiring dengan keperluan tenaga kerja. Wujud keperluan mendapatkan tenaga kerja pakar yang mencukupi kerana permintaan yang tinggi bukan sahaja di peringkat domestik malah antarabangsa. Saya juga mahu menyarankan supaya penyelidikan tentang kewangan Islam perlu dijalankan secara konsisten dan berterusan, namun kita juga berhadapan masalah kerana pakar kaji selidik dalam industri ini juga terhad. Ini penting dalam menghasilkan produk yang kompetitif dan inovatif.
Sebagai cadangan penyelesaian saya ingin mengemukakan beberapa idea untuk menangani masalah ini. Pertamanya adalah sangat penting untuk menggalakkan pelaburan dalam pembangunan modal insan untuk menghasilkan tenaga kerja dan kepakaran yang mencukupi kerana itu adalah kunci kepada pembangunan hab kewangan Islam di Malaysia. Usaha BNM menubuhkan International Center for Education in Islamic Finance (INCEIF) pada tahun 2006 adalah satu langkah yang sangat dialu-alukan. Selain itu penubuhan International Syariah Research Academy (ISRA) untuk menjalankan penyelidikan gunaan syariah juga amat dialu-alukan.
Satu lagi cabaran yang perlu diambil serius melibatkan persaingan kompetitif dari segi kadar keuntungan, produk dan perkhidmatan. Antara cabaran yang kami hadapi adalah dalam mendapatkan kos dana yang rendah. Selain itu timbul persepsi dalam kalangan masyarakat bahawa kadar keuntungan perbankan Islam adalah lebih tinggi daripada konvensional. Ini turut menimbulkan persaingan sengit bukan sahaja daripada sesama bank Islam malah dengan bank-bank konvensional di Malaysia dari segi produk dan perkhidmatan.
Dari sudut persaingan antara perbankan Islam dan juga sistem konvensional bagaimana Datuk melihat masa depan sistem kewangan Islam?
KHAIRUL ANWAR:Saya melihat sistem perbankan Islam mempunyai masa depan yang positif namun memerlukan pelan strategik yang ampuh. Berdasarkan data yang dikeluarkan PEMANDU dalam soal sumbangan perkhidmatan kewangan kepada negara, sistem kewangan Islam dijangka menyumbang Kenaikan Pendapatan Negara Kasar pada tahun 2020 kepada RM180.2 bilion berbanding RM121.5 bilion). Jumlah peluang pekerjaan pula meningkat kepada 275,400. Selain itu pasaran kewangan Islam dijangka akan tumbuh sebanyak 12 hingga 15 peratus setahun. Lebih membanggakan Malaysia mendominasi 74 peratus penerbitan sukuk global setakat September 2012, dan akan terus menerajui arena pasaran modal.
Sebagai peneraju perbankan Islam bertaraf antarabangsa, bagaimana Datuk melihat soal masa depan?
AZRULNIZAM: Saya melihat perlunya pengantarabangsaan kewangan Islam (Islamic Internationalization) dilakukan. Ini kerana dengan meningkatkan kepelbagaian pemain dalam bidang kewangan Islam, ia mampu menyumbang kepada pelbagai produk dan perkhidmatan kewangan di Malaysia. Ia turut melibatkan kerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyokong pertumbuhan industri dana Islam (Islamic fund) dan pengurusan kekayaan (wealth management). Satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian adalah dengan membantu menyokong pembangunan Islamic REITS and ETFs serta mengembangkan instrumen lindung nilai Islam (Islamic Hedging Instrument) yang diterimapakai di peringkat global. Selain itu dengan menggalakkan penggunaan dokumentasi dan praktis yang standard serta memudahkan penubuhan penyediaan perkhidmatan professional di Malaysia ia banyak membantu dalam menyediakan pelbagai perkhidmatan yang komprehensif.
Pihak yang terlibat juga perlu membangunkan produk baru untuk memudahkan urusniaga repo Islam dan instrument captive. Selain itu kita juga perlu mengiktirafkan instrumen mata wang asing (yang layak) sebagai aset cair dan cagaran (yang layak) untuk sokongan kecairan.
Saya juga mahu memberi penekanan supaya perlu memberi fokus kepada 3Cs, Customer (Pelanggan), Credit (Kredit) dan Compliance (Kepatuhan).
Mungkin Datuk melihat pencapaian sistem ekonomi Islam mampu menjadi lebih daripada pemangkin?
KHAIRUL ANWAR: Selepas lebih tiga dekad, industri kewangan Islam di Malaysia telah berkembang sebagai satu komponen penting dan berdaya saing dalam keseluruhan sistem kewangan yang beroperasi, selari dengan sistem kewangan konvensional. Sistem kewangan Islam di Malaysia telah berkembang sebagai satu sistem kewangan yang komprehensif dan pelbagai dari segi institusi, pasaran dan pemain. Sistem kewangan Islam terdiri daripada institusi perbankan Islam, industri takaful, institusi bukan perbankan dan wang dan pasaran modal Islam.
Infrastruktur kewangan sokongan termasuk rangka kerja pengawalan dan penyeliaan yang teguh yang diperkukuh oleh rangka kerja perundangan dan syariah, sistem pembayaran dan penyelesaian dan mekanisme bagi operasi mudah tunai oleh Bank Negara. Aset sistem perbankan Islam kini 24.2 peratus daripada jumlah aset pasaran dan Malaysia adalah peneraju sukuk di peringkat antarabangsa dengan jumlah tertunggak berjumlah USD165 bilion atau dua pertiga daripada jumlah tertunggak sukuk global. Bilangan dana unit amanah berasaskan syariah juga telah meningkat dimana lebih daripada 90 peratus daripada saham tersenarai Malaysia adalah kaunter yang diluluskan syariah.
Apakah Datuk yakin Malaysia akan terus menjadi peneraju perbankan Islam?
AZRULNIZAM: Saya yakin Malaysia akan terus menjadi peneraju dalam Perbankan Islam kerana pertamanya, struktur undang-undang yang mampan dan holistik melalui Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 yang baharu. Keduanya dasar pelaburan mesra yang diamalkan melalui liberalisasi peraturan pertukaran asing serta kelonggaran peraturan ekuiti pemilikan asing.
Selain itu pengenalan insentif cukai yang menarik untuk perniagaan dan modal insan turut memberi kesan yang begitu menggalakkan. Kita juga mempunyai struktur tadbir urus syariah yang maju selain lokasi Malaysia yang strategik, membantu menghubungkan antara ASEAN dan Timur Tengah untuk memudahkan aliran dana. Selain itu pasaran Malaysia yang dinamik serta mempunyai infrastruktur yang kukuh dan mantap termasuk mekanisme kawal selia yang baik dibantu pembangunan modal insan yang holistik mampu membekalkan negara ini ketahanan yang kukuh untuk terus bertahan bukan sahaja sekadar pemangkin malah bertindak sebagai enjin pertumbuhan ekonomi negara bagi membantu mencapai Wawasan 2020.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan