MUNASABAHKAH harga RM400,000 bagi sebuah rumah mampu milik di Pulau Pinang? Bagi Ketua Menterinya, Lim Guan Eng, harga itu mungkin ideal berdasarkan nilai semasa tanah di bahagian pulau.
Namun kepada yang makan gaji, mereka perlu berpendapatan sekurang-kurangnya RM7,000 sebulan supaya dapat membayar ansuran pinjaman perumahan dan pada masa sama menyara keluarga dengan selesa.
Bagi golongan berpendapatan rendah seperti kakitangan kerajaan negeri, berapa sangatlah yang dapat mereka bawa pulang ke rumah setiap bulan. Nak capai RM3,000 sebulan pun mungkin payah, itu pun kalau ada bayaran lebih masa atau lain-lain elaun.
Justeru, sanggupkah Guan Eng membuat penyelarasan tangga gaji minimum RM7,000 untuk kakitangannya seperti kerani dan buruh supaya mereka boleh membeli rumah mampu milik tersebut?
Bagaimana pula yang bekerja sendiri seperti pemandu teksi dan penjaja pasembur di tepi jalan? Mereka mungkin terpaksa menaikkan kadar perkhidmatan dan harga jualan supaya dapat membeli rumah mampu milik yang dibina oleh kerajaan DAP Pulau Pinang.
Sanggupkah kita sebagai pengguna membayar RM10 bagi sekilometer pertama apabila menaiki teksi atau untuk sepinggan pasembur? Menurut Yang Dipertua Komuniti 1Malaysia Daerah Barat Daya, Datuk Shah Headan Ayoob Shah, Guan Eng sebenarnya berdepan masalah psikologi.
"Beliau selalu cakap depan rakyat, kerajaan DAP Pulau Pinang akan menjaga mereka. Rakyat yang mendengar jaminannya sudah tentu berharap beliau akan menjadi hero untuk menyelesaikan masalah mereka," jelasnya.
Namun pada masa sama katanya, Guan Eng perlu menjaga hati golongan peniaga lebih-lebih lagi hubungannya dengan banyak pemaju semakin renggang sehingga memaksa beliau meletakkan syarat yang tidak munasabah untuk rumah mampu milik.
Shah Headan berpendapat, terdapat dua perkara asas yang boleh dilakukan oleh kerajaan negeri bagi mengatasi masalah tersebut.
Pertama, meningkatkan kepadatan sesuatu kawasan bertujuan mengurangkan kos pembinaan seterusnya menjadikan harga rumah lebih rendah. Sebagai contoh, jika satu-satu tapak biasanya dibina sebanyak 60 rumah, mungkin boleh ditambah jumlahnya kepada 100 buah.
Langkah kedua, Guan Eng perlu berani mewartakan kawasan untuk pembinaan rumah kos rendah di setiap Parlimen.
"Dalam setiap Parlimen perlu ada pelbagai jenis komuniti, iaitu orang kaya dan orang susah. Bila digazetkan sebegini, harga rumah automatik boleh diturunkan. Dari segi sistem kehidupan masyarakat pula, yang miskin akan menyediakan sistem sokongan kepada orang kaya seperti menjadi pekerja, pemandu atau tukang kebun," ujar Shah Headan.
Guan Eng perlu sedar bahawa jumlah tuan tanah dan pemaju tidak banyak, yang ramai adalah rakyat. Justeru, beliau perlu memberi perhatian kepada keperluan rakyat, bukannya memenuhi kehendak pemaju.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan