Mukhriz Mahathir bersama mahasiswa selepas merasmikan Persatuan Keusahawanan Pelajar UniKL di Kuala Lumpur, semalam.
*****
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, majlis anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim daripada PKR, Lim Soo Nee itu jelas menggambarkan pendirian berbeza antara PKR dengan garis panduan yang ditetapkan kerajaan negeri Pas Kedah.
Malah katanya, beliau turut dimaklumkan terdapat dalam kalangan pemimpin DAP sendiri tidak senang dengan tarian seksi dalam majlis itu.
"Kita kena jaga sensiviti, ini yang Barisan Nasional (BN) berjaya lakukan menerusi 13 parti komponen, tetapi pakatan pembangkang baharu tiga parti pun sudah bermasalah, sukar untuk percaya mereka sepakat dalam perkara lebih penting," katanya selepas merasmikan Persatuan Keusahawanan Pelajar (SEA) Universiti Kuala Lumpur (UniKL), di sini hari ini.
Garis panduan sambutan Tahun Baharu Cina 1Malaysia 2013 yang dijadualkan pada 15 Februari ini menjadi pertikaian antara Pas dan DAP di Kedah selepas kerajaan negeri menetapkan setiap peserta yang terlibat dengan persembahan pentas mesti berpakaian sopan.
Sementara itu, Mukhriz berkata, ideologi yang dibawa parti-parti pakatan pembangkang bukan setakat berbeza malah bertentangan antara satu sama lain.
"Dalam BN, kita percaya kepada sikap kompromi dan toleransi, tiada pihak yang dapat berpuas hati 100 peratus tetapi atas dasar pengorbanan, baru kita dapat sepakat," katanya.
Mengulas majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina BN Pulau Pinang 11 Februari ini yang mendapat tentangan kerajaan negeri, Mukhriz berkata, Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkemungkinan cemburu dengan kehadiran artis sensasi Korea Selatan, Psy dalam majlis itu.
"Kadang-kadang kita hendak cakap benda serius, kadang-kadang kita hendak rileks sedikit, saya yakin Psy tentu hormat cara kita dan ia sekadar berseronok," katanya.
Guan Eng sebelum ini menyeru orang ramai yang mahu hadir ke majlis berkenaan memakai baju kuning sebagai tanda sokongan kepada himpunan Bersih anjuran pembangkang, hijau untuk alam sekitar dan merah bagi Pulau Pinang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan