Pages

13 Februari 2013

Lihat wajah sebenar DAP - Cho Ha

LUMUT 10 Feb. - Orang Melayu terutamanya penyokong Pas perlu membuka mata terhadap wajah sebenar DAP ekoran pendedahan bekas Pegawai Khas kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu baru-baru ini.
Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, dakwaan Jafrei Nordin, 41, bahawa bekas majikannya mempunyai pandangan keterlaluan terhadap beberapa pemimpin Melayu dalam Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukan sesuatu yang menghairankan kerana semenangnya sudah dijangka.
Menurut beliau, MCA sendiri sebelum ini sudah banyak kali mendedahkan sikap DAP dan menasihati pemimpin-pemimpin Pas agar tidak terus menjalinkan kerjasama dengan parti itu, namun tidak diendahkan.
"Sekarang terbukti apa jenis pakatan seperti itu. Belum pilihan raya sudah mahu tikam belakang. Pas macam tidak serik-serik kerana MCA sudah lama memberitahu pakatan hanya 'marriage of convenience' (perkahwinan kontrak untuk tujuan selain hubungan, kekeluargaan atau cinta).
"DAP musuh dalam selimut dan Pas perlu sedar, dari mula dulu mereka kena sedar memandangkan DAP tidak sesekali menerima semua polisi, agenda dan dasar Pas," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan Tahun Baru Cina di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lumut di sini hari ini.
Cho Ha yang juga Menteri Pengangkutan berkata, Pas dan DAP ibarat seperti minyak serta air yang tidak mungkin boleh bercampur.
"Mereka amalkan politik sendiri tipu sendiri dan tikam belakang kawan. Kali ini Pas mesti dapatkan penjelasan daripada DAP, apakah niat sebenar parti itu dalam pakatan pembangkang," katanya.
Kelmarin, Jafrei mengumumkan peletakan jawatannya daripada berkhidmat dengan Ronnie kerana hilang kepercayaan ke atas bekas majikannya itu.
Jafrei yang mula berjinak-jinak dengan DAP apabila menjadi aktivis parti itu pada 2005 berkata, selepas setahun berkhidmat, beliau mula mengesan sikap keterlaluan Ronnie walaupun seringkali mendakwa DAP bukan parti perkauman.
Dalam pada itu, Cho Ha berkata, beliau yakin DAP tidak akan meletakkan calon Melayu di Perak supaya wakil parti tersebut boleh dilantik sebagai menteri besar sekiranya pakatan pembangkang menang pada pilihan raya umum akan datang.
"Itu sandiwara yang sengaja dibuat-buat kerana DAP tidak berani meletakkan calon Melayu di kerusi milik DAP yang diketahui merupakan kawasan majoriti masyarakat Cina dan India.
"Saya sendiri telah mencabar Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham menjelaskan pendirian DAP dalam meletakkan calon Melayu namun sehingga kini tidak terjawab. Beliau tahu DAP tidak berani melakukannya," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan