Pages

21 Februari 2013

Pakatan pembangkang makin tergugat

SUNGAI SIPUT 19 Feb. - Pakatan pembangkang kini semakin tergugat sehingga terpaksa mencipta pelbagai tohmahan dan pembohongan untuk melaga-lagakan kepemimpinan Barisan Nasional (BN) termasuk di Perak menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pembangkang tidak mempunyai pilihan untuk berbuat demikian kerana tidak mampu menahan gelombang sokongan rakyat yang semakin memihak kepada BN di seluruh negara.
‘‘Ini cara pembangkang, dia nak tunjuk kononnya dalam BN tiada muafakat, ada pemimpin bertelagah sesama sendiri. Jelas itu tidak betul. Macam di Perak, para pemimpin negeri sudah menyatakan sokongan padu kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
‘‘Beliau banyak buat kerja. Jadi janganlah kita terpedaya dengan tipu helah pembangkang. Mereka kata BN tiada perpaduan kerana ada perpecahan sedangkan itu sebenarnya bayangan mereka sendiri. Mereka makin rasa tergugat dan takut melihat gelombang sokongan rakyat kepada BN," katanya.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Rakyat 1Malaysia yang turut dihadiri isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman di Dataran Pusat Kegiatan Kemas Sungai Siput di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Zambry yang juga Pengerusi BN negeri; Pengerusi BN Sungai Siput, Datuk Seri S. Samy Vellu; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk S. K. Devamany; Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan.
Ditanya mengenai prestasi BN di Perak, Muhyiddin berkata, secara umumnya adalah baik berdasarkan kemampuan kepemimpinan negeri mengembalikan keamanan dan kestabilan selepas berdepan pembangkang yang mencetuskan pelbagai pergolakan pada 2009.
‘‘Perak hari ini adalah stabil, pembangkang pun seakan tidak bermaya. Dengan komitmen kerajaan negeri dan bantuan Pusat, kita teruskan pembangunan dan keadaannya semakin pesat. Itu bukan kita buat-buat, jelas di depan mata situasi sekarang sudah jauh lebih baik," ujar beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan