Pages

3 Februari 2013

Perihal DAP mahu pancing anak raja dan pemecatan Nasharudin

PENDEDAHAN bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berhubung usaha DAP memujuk anakanda Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Zain Al-'Abidin Tuanku Muhriz agar menganggotai parti itu mengejutkan banyak pihak.
Ini kerana banyak melihat DAP yang sering kali memperlekehkan raja-raja Melayu itu cuba mempergunakan pengaruh anak raja untuk memancing undi pengundi Melayu.
Blog Badut Rakyat (badutrakyat.blogspot. com) berkata, biarpun penyertaan seorang putera raja ke arena politik bukanlah salah walaupun jarang berlaku, namun perlakuan DAP yang memancing dengan menjanjikan jawatan menteri besar dan juga menteri Kabinet adalah perlakuan yang biadab.
"Apatah lagi dengan prinsip utama DAP yang tidak mengiktiraf institusi raja-raja, maka tindakan tersebut membawa makna bahawa DAP hanya ingin memperalatkan baginda untuk meraih undi Melayu semata-mata dengan keyakinan yang mereka dapat membonekakan baginda sekiranya strategi ini berjaya.
"Mungkin ramai yang masih ingin menepis hakikat ini dan menuduh penulis sebagai rasis dan paranoid. Namun, tidak salah kita mengambil sikap berhati-hati memandangkan sehingga ke saat ini, kita masih tidak mendapat jaminan yang DAP tidak akan meneruskan agenda menghapuskan Artikel 153, sekali gus raja-raja Melayu sekiranya pembangkang memerintah negara," katanya.
Katanya, tawaran DAP kepada Tunku Zain adalah bertitik tolak kepada strategi parti yang monopoli oleh satu kaum sahaja itu semata-mata untuk memenangi pilihan raya.
"Raja-raja adalah benteng kita, jika raja- raja juga sudah dihina sebegitu rupa dengan rasuah jawatan yang jauh lebih rendah daripada kedudukan baginda, maka apakah kita masih ingin terus percaya kepada DAP?" katanya.
Beruang Biru dalam RBF Online (www. rbfonline.net) pula berkata, tawaran DAP kepada Tunku Zain itu kerana parti tersebut tahu bahawa golongan istana mempunyai pengaruh amat besar terhadap orang Melayu dan sedikit sebanyak boleh membantu memenangkan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.
"Inilah sebenarnya strategi DAP untuk menyucikan parti itu daripada stigma anti-Melayu dan anti-Islam yang telah melekat pada tubuh badannya sejak ditubuhkan.
"DAP sanggup memanipulasi keputusan pemilihan anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat untuk meletakkan seorang 'Melayu celup' menjadi wakil tunggal Melayu walaupun sebelumnya semua calon Melayu kalah teruk.
"DAP berharap jika seorang anak raja boleh diyakinkan untuk bertanding pada PRU-13 nanti atas tiket parti itu, sudah tentu ramai orang Melayu akan terpengaruh," katanya.
Justeru, blog itu mengingatkan kaum Melayu agar tidak terjebak dengan permainan silap mata DAP yang secara luaran menarik hati dengan segala idealisme yang mengasyikkan tetapi akhirnya baru tersedar diri telah tertipu.
NASHARUDIN DIPECAT
BEKAS Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa telah dipecat keanggotaannya dalam Majlis Syura Pas dengan alasan yang sangat remeh. Malahan Ahli Parlimen Bachok itu juga disahkan tidak tersenarai sebagai calon bagi mempertahankan kerusi yang disandangnya itu.
Walaupun Pas mendakwa pemecatan Nasharudin kerana tidak menghadiri mesyuarat, namun ramai yang melihat tindakan keras parti itu berkaitan penglibatan Nasharudin dalam rombongan Perdana Menteri yang melawat Gaza tempoh hari dan beberapa negara Arab lain sebelum ini.
Zulkifli Noordin (zul4kulim.blogspot.com) berkata, pemimpin dan penyokong Pas sepatutnya merasa bangga kerana Nasharudin ikut serta dalam lawatan bersejarah ke Gaza tersebut.
Ini kerana, ketika tidak ramai pemimpin Pas yang menjejakkan kaki ke bumi Palestin, sudah pasti langkah yang diambil oleh Nasharudin itu akan memberikan kebanggaan kepada Pas yang selama ini tekun menyokong perjuangan rakyat Palestin termasuk mengadakan pelbagai kutipan derma jihad di masjid-masjid dan ceramah.
"Teman pada masa itu cukup yakin pimpinan dan ahli Pas akan buka jubah dan serban dan menghamparkannya di KLIA untuk menyambut wira dan hero mereka pulang daripada bumi Gaza!
"Sudah pasti semua muffler Palestin yang melilit leher mereka selama ini akan kalungkan di leher hero Pas yang baru pulang dari bumi anbia' ini.
"Tetapi tidak! Rupanya para pasrasit berjaya melilit leher tengkuk Ustaz Nasha (Nasharudin) sehingga dipecat daripada Majlis Syura," katanya.
Katanya, pelbagai pendedahan yang dibuka Allah mengenai pekung penyakit di dalam Pas itu sepatutnya membuka mata rakyat terutama umat Melayu dan Islam.
"Semakin hari semakin terserlah kurap- kurap politik di dalam Pas ini," katanya.
Blog Selangor 13 (selangor13.blogspot.com) dalam nada sinis berkata, Majlis Ulama Pas sudah pasti tidak akan memecat Nasharudin jika dia mengikuti lawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ini kerana, bagi Pas adalah satu dosa besar jika ada pemimpin mereka mengikuti lawatan UMNO dan begitulah nasib yang terjadi ke atas Nasharudin.
"Barangkali dalam pakatan pembangkang ini, kalau nak sokong apa-apa kena ikut Anwar, baru anda selamat. Jika ikut UMNO, anda jadi lepat..
"Agak-agak kalau Ustaz Nasha pergi ke Palestin dengan Anwar kena buang tak? Walhal macam mana ustaz nak pergi kalau pemimpin-pemimpin utama pakatan termasuk Anwar sendiri tak pergi?" katanya.
Lebih pelik lagi, bagaimana Anwar mahu melawat dan menyatakan sokongan terhadap Palestin sedangkan dia sendiri pernah membuat kenyataan menyokong negara Israel.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan