Pages

24 Februari 2013

PM sanggup 'bekikis bulu betis'

SRI AMAN 21 Feb. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji akan bekerja bersungguh-sungguh sehingga ke tahap 'bekikis bulu betis' sekiranya diberi mandat baharu dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.
Najib menggunakan perumpamaan 'bekikis bulu betis' itu dengan mengambil semangat daripada lagu yang cukup popular di Sarawak iaitu Biar Bekikis Bulu Betis.
Lagu itu merupakan gubahan penyanyi Iban terkenal, Andrewson Ngalai dan liriknya digubah semula Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu ke dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dengan tajuk Wawasan Bekikis Bulu Betis.
Lirik versi asal lagu yang mempunyai irama seakan-akan lagu poco-poco itu menceritakan perihal seorang lelaki yang sanggup bergadai nyawa untuk mendapatkan kekasih pilihan hati manakala lirik baharu pula menyentuh mengenai pengorbanan dan kesungguhan dalam mencapai kemajuan.
"Mandat lima tahun ini untuk kita selesaikan agenda rakyat di Sarawak, dalam tempoh itu banyak yang boleh dilakukan, dengan kerjasama padu Pehin Sri (Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud), maka banyak perubahan boleh berlaku di Sarawak.
"Berilah kita peluang dan saya akan bekerja kuat sebagaimana mengikis bulu betis saya, ini lagu kegemaran saya, tolong nyanyi sekali lagi sebelum saya balik," katanya ketika berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Padang KPS Lama, di sini hari ini.
Sejurus lagu itu dimainkan sekali lagi, sekumpulan wanita dilihat tidak melepaskan peluang menari poco-poco dengan iringan lagu tersebut.
Najib mendengar lagu berkenaan buat kali pertama dalam majlis sempena sambutan Hari Gawai di Betong pada 3 Jun tahun lalu.
Dalam majlis itu, Najib memberitahu, lagu terbabit layak dijadikan lagu peringkat kebangsaan kerana liriknya diibaratkan seperti semangat pantang menyerah kalah.
Katanya, semangat seperti itu diperlukan untuk meraih lebih banyak pencapaian dan pembangunan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan