Pages

12 Februari 2013

Saya akur - Nasharudin

KUALA LUMPUR 6 Feb. - Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa (gambar) akur dengan pemecatannya sebagai Ahli Majlis Syura Ulama Pas selepas beliau menerima surat tersebut hari ini.
Nasharudin berkata, berdasarkan surat berkenaan alasan atau sebab beliau dipecat kerana tindakannya yang bertentangan dengan peraturan parti.
Ketika dihubungi Utusan Malaysia malam ini, beliau turut menjelaskan, surat itu bagaimanapun tidak menyebut ketidakhadirannya ke mesyuarat Majlis Syura Ulama sebagai alasan pemecatan.
"Tarikh surat ini dikeluarkan ialah pada 14 Januari lalu dan ditandatangani Setiausaha Majlis Syura Ulama, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh.
"Berdasarkan sampul surat ini, tarikh posnya adalah pada 30 Januari lalu melalui Pos Ekspres, namun saya hanya menerimanya hari ini iaitu satu tempoh yang agak lama," katanya.
Pada 27 Januari lalu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali mengesahkan pemecatan Nasharudin sebagai Ahli Majlis Syura Ulama.
Mustafa berkata, antara sebab pemecatan itu kerana Nasharudin kerap tidak hadir ke mesyuarat Majlis Syura Ulama serta sering membuat kenyataan tidak selari dengan pendirian serta ketetapan majlis.
Menurut Nasharudin, beliau tidak menolak kemungkinan peranannya sebagai penggerak kerajaan perpaduan antara Pas dan UMNO menjadi pencetus sehingga dipecat sebagai Ahli Majlis Syura Ulama.
Namun, katanya, apa yang berlaku itu tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus berjuang termasuk membantu mana-mana pihak yang mahu membela serta mempertahankan Islam.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebaik-baiknya Pas bersendiri daripada bersama pakatan pembangkang kerana banyak pendirian parti itu berkaitan perjuangan Islam telah digugurkan sejak bersama pakatan pembangkang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan