Pages

24 Februari 2013

Tidak mustahil DAP perintah negara - Hasan Ali

KUALA LUMPUR 20 Feb. - Dominasi DAP terhadap sekutu-sekutunya, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberikan gambaran parti itu akan menerajui pemerintahan negara sekiranya pakatan pembangkang berjaya menawan Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali berkata, andaian itu dibuat berdasarkan analisis pemerhati politik yang menjangka DAP berupaya meraih kemenangan lebih besar berbanding Pas dan PKR.
Menurut beliau, walaupun DAP akan bertanding di 50 kawasan Parlimen manakala Pas dan PKR mungkin diperuntukkan 80 kawasan Parlimen bagi setiap parti, tidak semestinya bilangan kerusi yang banyak akan mencerminkan kemenangan yang besar.
“Sekiranya DAP memenangi 90 peratus daripada kerusi yang ditandingi dan Pas serta PKR dijangka menang di bawah paras 50 peratus, sudah tentu DAP akan terus menjadi parti peneraju dalam pakatan pembangkang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan adalah mustahil DAP menerajui pemerintahan negara kerana parti itu hanya meletakkan calon di 50 daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan pada PRU-13.
Jelas Abdul Hadi, DAP tidak akan mampu menguasai majoriti dua pertiga bagi membentuk kerajaan walaupun menang di kesemua kawasan Parlimen yang ditandingi.
Hasan menambah, DAP telah berjaya menggunakan segala kesempatan dan ruang untuk menonjolkan falsafah perjuangan parti itu sejak lima tahun lalu.
Beliau memberitahu, dalam apa keadaan pun, DAP merupakan pihak yang dikatakan meraih kemenangan sehingga berjaya menjadi tulang belakang pakatan pembangkang.
“Begitu juga halnya dengan PKR. Namun yang tewas di gelanggang hujah dan perjuangan khususnya dari segi mempertahankan asas-asas perjuangan parti, tidak lain dan tidak bukan ialah Pas," ujarnya.
Hasan berkata, sehingga kini, tiada satu pun isu-isu besar melibatkan Islam dan Melayu yang ingin dijuarai Pas dapat dilaksanakan.
“Pas kalah bersabung dalam isu kalimah Allah, negara Islam, hudud dan isu murtad. Suara Pas hampir diketepikan dalam merangka dasar dan hala tuju pakatan pembangkang," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan