Pages

20 Mac 2013

50-50 atau dua pertiga?

SELANGOR diibaratkan sama dengan Putrajaya. Tak sempurna kemenangan Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) ini nanti tanpa disertai Selangor.
Maknanya, Selangor perlu dikembalikan ke pangkuan BN.
Ramai bertanyakan saya begitu. Mengapa? Di bawah pemerintahan kerajaan PKR negeri tidak elokkah Selangor? Bukan tidak elok, cuma 'tak seberapa'. Lebih mendukacitakan, kerajaan negerinya memungkiri janji-janji yang dilafazkan kepada rakyat pada pilihan raya umum 2008. Kalau satu dua bolehlah dimaafkan, tetapi ia melibatkan sebahagian besar janji untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana dalam manifesto itu yang tak tertunai.
Setakat semalam, 'war room' atau bilik perang BN dan pakatan pembangkang di negeri itu sudah bersiap sedia. Tinggal tunggu semboyan sahaja.
Selaku Pengerusi Perhubungan UMNO dan BN Selangor, harapan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melihat Selangor dipulangkan cukup besar. Beliau sendiri akan mengetuai jentera pilihan raya BN negeri itu, di samping dibantu Datuk Seri Noh Omar selaku timbalan pengerusi perhubungan dan Datuk Seri Mohd. Zin Mohamed, koordinator yang bertindak timbalan pengarah pilihan raya.
Realiti yang rakyat Selangor perhatikan waktu ini ialah kerenah dan gelagat 'tidak banyak bawa pembangunan' yang ditimbulkan menteri besar negeri itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Ini memang cukup menyakitkan.
Dalam perkara mudah sahaja, soal nak luluskan loji rawatan air Langat 2 - bukannya keluar belanja - pun susah. Asyik sangat salahkan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan BN. BN sendiri tak boleh selesaikan masalah air sebab kerajaan Selangor tak bagi 'development order'. Nak buka stesen pam tambahan pun, mereka (kerajaan Selangor) tak bagi kelulusan.
Andai masalah air tidak diselesaikan segera, malapetaka lebih serius akan menimpa. Ini khususnya di Lembah Klang, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya pada tahun depan dan seterusnya. Pembangunan dan pelaburan di Selangor juga terbantut dan tidak dapat dilaksanakan seperti dijadualkan berikutan masalah air di negeri itu.
Akibatnya sedar-sedar berbilion-bilion ringgit pelaburan di Selangor mungkin tersadai kalau tak selesaikan segera masalah air. Pelabur-pelabur menunggu nak buka kilang tetapi tertangguh kerana masalah air. Pemaju yang nak buka kawasan perumahan pun tertangguh.
Itu satu contoh sahaja, belum masuk lagi bab-bab lain - berkisar janji-janji pakatan itu yang belum terlaksana di Selangor.
Begitupun jika diambil kira secara realistik, tugas dan cabaran yang digalas oleh jentera pilihan raya BN Selangor bukan mudah. Banyak lorong dan onar yang perlu ditempuh sebelum menggapai kejayaan.
Di Selangor, tidak kurang 10 atau 11 kerusi daripada 56 kerusi DUNnya mencatat majoriti tipis yang diraih pada 2008 oleh penyandang nya. DUN Sungai Air Tawar cuma diketuai dengan majoriti 123 undi, Sabak (117), Sekinchan (190), Kuala Kubu Bharu (448), Permatang (608), Bukit Malawati (297), Kuang (517), Taman Templer (613), Paya Jaras (642) dan Teluk Datok (698). Dan majoriti terendah sekali diraih Datuk Satim Diman di Sri Serdang dengan 45 undi.
Masa berlalu dan lima tahun bagaikan sekejap. Dan agak 'mengejutkan' apabila saya dimaklumkan jumlah pengundi Selangor sudah meningkat. Negeri itu sahaja mencatat 2.1 juta pengundi - yang tertinggi di seluruh negara. Lebih menarik lagi apabila diteliti daripada segi komposisi pengundi mengikut kaum.
Di DUN Sri Serdang sahaja, berdasarkan statistik pengundi suku keempat atau Disember 2012 - daftar pengundi yang akan digunakan pada PRU-13 - mencatat pertambahan pengundi yang mendadak. Bagi pengundi Cina sahaja sudah mencapai peningkatan 10,638 orang di situ. Itu belum termasuk di Parlimen Subang Jaya (10,024 pengundi baru Cina), Teratai (6,872), Bukit Lanjan (9,189), Damansara Utama (6,201), Sri Muda (5,010) dan Balakong (7,580).
Barangkali kebanyakan kerusi itu majoriti didiami pengundi Cina. Tetapi keadaan sama boleh dilihat di kawasan Melayu seperti Paya Jaras dan Sungai Panjang. Masing-masing di kerusi ini mencatat pertambahan pengundi Cina yang mencapai 5,300 dan 1,300 orang.
Saya membangkitkan hal ini kerana lebih 30 peratus pengundi di Selangor merupakan kaum Cina dengan sebahagian besar tinggal di bandar-bandar utama. Juga, sekurang-kurangnya 17 kerusi DUN mempunyai majoriti pengundi Cina atau pengundi bercampur - pengundi Melayu dan Cina sama ramai. Sembilan kerusi yang ramai pengundi Cina sahaja terletak di empat kawasan parlimen yang dikuasai pembangkang iaitu Kelana Jaya, Subang, Petaling Jaya Utara dan Petaling Jaya Selatan.
Dan orang Melayu ramai yang tinggal di Sabak Bernam, Sepang dan Kuala Selangor serta Shah Alam. Selangor mempunyai 56 kerusi DUN dengan pakatan menguasai 36 daripadanya manakala BN 20 kerusi hasil pilihan raya umum 2008.
Tidak kira tilikan peramal-peramal PRU-13 nanti betul atau tidak, apa yang pasti - pengundi Cina masih merupakan kumpulan pengundi yang paling sukar diramalkan hala tuju mereka.
Suatu ketika, Ketua Penerangan BN Selangor yang juga pengunjung tegar kedai-kedai kopi di sekitar Serdang, Datuk Yap Pian Hon pernah bercakap kepada seorang rakan penulis. Katanya, masih ramai pengundi Cina tidak membuat keputusan untuk mengundi BN atau pembangkang.
"Keadaan ini disebabkan oleh nilai kehidupan tradisi masyarakat Cina sendiri di mana mereka akan membuat penilaian berterusan ke atas persekitaran semasa.
"Kemenangan BN juga amat bergantung kepada kemampuan parti komponennya termasuk MCA dan Gerakan untuk melawan propaganda pembangkang yang mahu meracuni minda pengundi Cina," katanya.
Pian Hon bagaimanapun menarik perhatian, walaupun para penganalisis berpendapat undi Cina masih cenderung kepada parti pembangkang tetapi hakikatnya keadaan itu boleh berubah pada bila-bila masa bergantung kepada persekitaran semasa.
"Perlu diingatkan bahawa sejarah menunjukkan pengundi Cina merupakan penyokong setia kepada Perikatan atau BN selama ini, peralihan undi Cina secara besar-besaran ke arah pembangkang hanya berlaku dua kali iaitu pada 1969 dan 2008.
"Apa yang penting ialah setiap isu yang membelenggu pengundi Cina perlu diperjelaskan oleh BN satu demi satu,"
Daripada jumlah kerusi DUN Selangor, 35 kerusi diperuntukkan untuk UMNO, MCA 14 manakala MIC sebanyak 3 kerusi dan 4 kerusi untuk parti Gerakan.
Pada 2008, UMNO bertanding 35 kerusi, menang 18 kerusi; MCA (14 kerusi) menang 2 kerusi, Gerakan (4 kerusi) kalah kesemuanya termasuk MIC kalah 3 kerusi.
Jika deretan kegagalan pentadbiran kerajaan PKR Selangor diambil perkiraan mustahak oleh rakyat terutama pengundi dan dengan formula apa yang telah dirancang BN, tidak mustahil - Insya-Allah BN boleh menang.
Dengan praktis merendah diri tetapi tampil bersemangat waja, dengan UMNO sahaja boleh memenangi sekurang-kurangnya 30 kerusi sementara MCA, MIC dan Gerakan memberikan sumbangan beberapa lagi kerusi tambahan - BN diyakini akan kembali memerintah Selangor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan