KUALA LUMPUR 19 Mac - Pembentangan Laporan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka menjadi teras kepada manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu, Asri Salleh berkata, BN akan mengambil langkah-langkah tertentu untuk meneruskan agenda transformasi sebagai manifesto pilihan raya.
"Barisan Nasional dijangka melakukan langkah-langkah penambahbaikan pada transformasi yang dijalankan.
"Sebagai contoh, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) mungkin akan ditambah jumlahnya dan golongan penerima diperluaskan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas pembentangan Laporan ETP dan GTP oleh Perdana Menteri di Angkasapuri malam ini.
Sementara itu, Asri berkata, kejayaan transformasi yang paling penting adalah peningkatan Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita negara.
Ini kerana aspek itu menjadi ukuran utama yang digunakan di peringkat global bagi mengukur kemajuan atau kemunduran taraf hidup rakyat sesebuah negara.
"Seperti dinyatakan Perdana Menteri, sebelum inisiatif ETP bermula, PNK per kapita pada tahun 2009 ialah AS$6,700 (RM20,770)
"Pada tahun 2012, angka ini telah meningkat sebanyak 49 peratus kepada AS$9,970 (RM30,907), sekali gus membolehkan Malaysia mencapai status sebuah negara berpendapatan tinggi lebih awal daripada jangkaan," katanya.
Sehubungan itu katanya, terpulang kepada rakyat untuk membuat pilihan pada PRU-13 nanti, sama ada mahu meneruskan agenda transformasi atau memilih janji pembangkang yang terlalu bersifat idealistik.
"Program Transformasi Ekonomi berpijak di bumi nyata manakala manifesto pembangkang terlalu idealistik dan sukar dilaksana," ujarnya.
Sementara itu, tokoh sejarah, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim berkata, sejarah menjadi bukti paling nyata kejayaan ETP apabila negara semakin berkembang maju dan mendapat pengiktirafan dunia.
Bagaimanapun, beliau merasakan ada sedikit kekurangan usaha dalam memajukan bidang ilmu sejarah dan sastera terutama ketika bidang sains dan teknologi menjadi pilihan generasi muda.
"Kita melalui sejarah, sastera dan bukan menerusi Matematik, fizik atau kimia.
"Sains tidak dapat melihat apa yang berlaku dalam masyarakat dan ini amat penting dalam pembinaan sesebuah negara," jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan