KUALA LUMPUR 25 Mac - Orang Melayu boleh mengambil alih peranan membina satu tamadun berasaskan Islam di abad ini dengan syarat mereka tidak lagi bersengketa dan berpecah-belah kerana perbezaan pandangan politik.
Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berkata, kerajaan yang dipimpin orang Melayu di negara ini haruslah teguh melaksanakan program dan usaha yang perlu bagi merealisasikan matlamat tersebut.
"Selama ini orang Melayu memandang kepada bangsa Arab sebagai pemimpin Islam dunia, tetapi di abad ini dan sudah jelas kelihatan bahawa mereka tidak berupaya menjadi pemimpin umat Islam," katanya ketika menjadi panel dalam Forum Negara: Membina Peradaban Bangsa Melayu Berteraskan Tamadun Islam di sini hari ini.
Forum anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) itu turut disertai dua lagi ahli panel iaitu bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Tan Sri Muhammad Ali Hashim.
Yang turut hadir isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.
Hadir sama ialah pemimpin-pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menganggotai MPM serta Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin.
Abdul Hamid berkata, walaupun tidak sempurna, umat Islam di negara ini sebenarnya telah mempelopori pembinaan satu tamadun berasaskan Islam sesuai dengan zaman ini dan selaras dengan prinsip-prinsip syariah.
Sementara itu, Muhammad Ali berkata, umat Islam mempunyai peranan dan tanggungjawab penting membantu sesama sendiri untuk membangun dan berjaya terutama dalam aspek ekonomi.
"Maka amat penting semua institusi ekonomi, keselamatan dan politik berfungsi dengan baik supaya orang Islam Melayu dapat dibela dan dimajukan," katanya.
Katanya, adalah amat penting diwujudkan organisasi yang berteraskan Islam sepenuhnya tanpa menciplak sistem daripada Barat yang mempunyai agenda tersendiri terhadap dunia Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan