KUALA LUMPUR 22 Mac - DAP tidak menolak kemungkinan akan bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya umum akan datang jika pendaftaran parti itu dibatalkan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Pada masa yang sama, Penasihat DAP, Lim Kit Siang juga membayangkan kemungkinan calon parti itu akan menggunakan lambang Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau Pas sebagai lambang kesatuan pembangkang.
"Calon DAP mungkin bertanding sebagai calon Bebas atau kita pinjam simbol PKR atau Pas. Saya sendiri mungkin bertanding menggunakan simbol Pas pada pilihan raya umum nanti," katanya sebagaimana dipetik daripada laman Twitternya hari ini.
Sementara itu, ketika bercakap dengan akhbar berbahasa Cina, China Press, Kit Siang memberitahu, kemungkinan tersebut tidak boleh ditolak kerana ROS kini dilihat serius mahu mengambil tindakan.
Kata pemimpin veteran DAP itu, isu pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti tersebut baru-baru ini tidak sepatutnya diperbesarkan kerana beliau mendakwa tidak lebih sekadar 'masalah teknikal'.
"DAP telah ditubuhkan selama 47 tahun dan saya tidak faham kenapa boleh timbul isu 'penipuan' dan 'tidak telus' dalam pemilihan CEC," katanya sebagaimana dipetik daripada Chinapress.com.
Semalam, bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim sekali lagi mendesak ROS mengambil tindakan membatalkan pendaftaran DAP berikutan kedegilan parti tersebut mengadakan pemilihan semula CEC.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan