Pages

28 Mac 2013

Dr. Uthman kembali ke Rahmatullah

KUALA LUMPUR 25 Mac - Tokoh Maal Hijrah 2005 yang juga pakar dalam bidang pemikiran Islam, Dr. Uthman El-Muhammady, 70, (gambar) meninggal dunia kira-kira pukul 7.30 malam ini di kediamannya di Persiaran Duta di sini.
Menurut anaknya, Ahmad El-Muhammady, 35, bapanya meninggal dunia disebabkan penyakit jantung yang dihidapi sejak hampir setahun lalu.
Ahmad yang kelihatan tenang dan reda dengan pemergian Allahyarham memberitahu, bapanya ketika itu sedang membaca di bilik bacaan sebelum ibunya menyedari Allahyarham tidak menunjukkan tindak balas ketika sedang berehat.
"Saya perasan ayah ketika itu kelihatan penat sebelum dia masuk ke bilik untuk berehat sebelum ibu saya menyedari ayah tidak menunjukkan sebarang tindak balas.
"Arwah tidak menunjukkan sebarang petanda pelik melainkan beliau tidak sabar untuk menjemput cucu-cucunya berkumpul meraikan kecemerlangan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Allahyarham meninggalkan balu, Mariam Hussein, 65, serta 12 anak berusia antara 20 hingga 40-an.
Jenazah beliau akan disembahyangkan di Masjid Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak dan dijangka dikebumikan selepas solat zuhur di Tanah Perkuburan Islam UIA.
Ahmad yang juga seorang pensyarah di Jabatan Ilmuwan, Wahyu dan Sains Kemanusiaan berkata, walaupun keadaan kesihatan bapanya kurang mengizinkan, beliau masih gigih menyiapkan beberapa buku terjemahan.
Allahyarham merupakan tokoh intelektual Islam yang tidak asing lagi dalam negara serta pernah menghasilkan ratusan buku ilmuwan Islam dan beberapa buku terjemahan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan