Pages

24 Mac 2013

Enggan mohon maaf, bukti Koo Ham angkuh

IPOH 20 Mac - Keengganan Pengerusi DAP negeri, Datuk Ngeh Koo Ham memohon maaf kepada masyarakat India walaupun menerima desakan pelbagai pihak membuktikan keangkuhan pemimpin pembangkang itu.
Bekas Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cawangan Ipoh Barat, V. Subramaniam berkata, kenyataan biadab Koo Ham menerusi Twitter yang menggambarkan undi masyarakat India boleh dibeli dengan sogokan wang dan minuman keras jelas memperlekehkan kaum tersebut.
Kenyataan berbaur penghinaan itu katanya, telah membuka mata kaum India di negara ini bahawa mereka hanya dijadikan sebagai kuda tunggangan parti itu untuk mencapai cita-cita politik DAP.
‘‘DAP selama ini hanya menggunakan orang India sebagai senjata semasa pilihan raya. Mereka sebenarnya tidak pedulikan langsung tentang kebajikan kaum ini tetapi hanya jadikan sebagai kuda tunggangan untuk parti itu.
‘‘Kita bukannya rasis tapi mereka sebenarnya yang rasis. Orang India yang menyokong mereka sebelum ini terperangkap, mereka terjerat dengan janji manis sedangkan Koo Ham tak peduli langsung pada mereka," katanya.
Subramaniam berkata demikian dalam sidang akhbar selepas membuat laporan polis terhadap Koo Ham di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, di sini hari ini.
Koo Ham dalam laman Twitternya baru-baru ini mengeluarkan kenyataan berbunyi: For too long Beruas Indians hv been cheated of their votes by BN’s sarees, Milo, mutton curry & beers. (Sejak sekian lama, undi masyarakat India di Beruas telah ditipu dengan pakaian sari, Milo, kari kambing dan bir BN).
Subramaniam yang juga Pengerusi Gerakan Cawangan Taman Lim turut menempelak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, V. Sivakumar kerana mempertahankan kenyataan Koo Ham itu.
Katanya, Sivakumar sepatutnya perlu lebih peka terhadap sensitiviti orang India dan membela maruah kaum itu daripada dicemari pihak lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan