Pages

3 Mac 2013

Hargai jasa pihak pertahan keamanan negara

PETALING JAYA 2 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak rakyat khususnya golongan muda supaya mengingati serta menghargai jasa mana-mana pihak atau individu yang berkorban apa sahaja demi memastikan negara kekal aman dan selamat.
Mengambil contoh dua anggota komando VAT 69 yang terbunuh ketika bertempur dengan kumpulan bersenjata yang mendakwa sebagai Tentera Diraja Kesultanan Sulu di Lahad Datu, Sabah semalam, jelas Perdana Menteri, itu adalah satu pengorbanan yang cukup besar kepada negara.
Menurutnya, untuk itu, rakyat perlu membalas semula jasa-jasa sedemikian dengan berbakti membangunkan masyarakat dan negara menerusi penglibatan dalam aktiviti kesukarelaan.
"Semalam kita kehilangan dua perwira negara. Mereka berkorban supaya kita dapat hidup aman dan damai. Kita perlu ingat dan balas jasa ini. Oleh itu, saya mengimpikan suatu hari nanti, golongan muda akan berganding bahu bukan sahaja untuk membantu antara satu sama lain tetapi masyarakat melalui semangat sukarela.
"Saya percaya, jika kita menyumbang sesuatu dan membantu orang lain, kita akan berasa puas dan gembira. Hal ini kerana semangat sukarelawan adalah amalan tidak mementingkan diri dan bertujuan meningkatkan kualiti hidup masyarakat tanpa mengharapkan balasan apa-apa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Konvensyen Belia dan Kesukarelaan 1Malaysia for Youth (1M4U) di kampus Universiti Taylor’s di sini hari ini.
Dalam majlis sama, beliau melancarkan stesen radio 1M4U FM yang bersiaran di frekuensi 107.9 fm. - UTUSAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan