Pages

28 Mac 2013

Hasrat Uthayakumar bertanding sebagai calon Pas ditolak

KUALA LUMPUR 25 Mac - Pas tidak akan membenarkan sama sekali Pengerusi Hindraf, P. Uthayakumar bertanding di Parlimen Kota Raja menggunakan lambang Pas kerana kerusi tersebut adalah milik parti itu.
Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu telah memutuskan semua kerusi yang dimenangi pada 2008 akan ditandingi Pas dan calon kerusi Kota Raja kekal milik penyandangnya Dr. Siti Mariah Mahmud.
"Pas memutuskan kita akan mengekalkan semua kerusi yang dimenangi sebelum ini dan memandangkan Dr. Siti Mariah menang di Kota Raja, dia kekal di sana," katanya sebagaimana dipetik daripada portal www.mole.my hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Uthayakumar yang mahu bertanding sebagai calon Pas selepas mendakwa parti itu sedia membariskan calon bukan Islam pada pilihan raya umum nanti.
Pada pilihan raya umum 2008 lalu, Dr. Siti Mariah menang kerusi Kota Raja dengan majoriti 20,751 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN).
Menurut Tuan Ibrahim, walaupun Pas menyatakan kesediaan untuk membariskan bukan Islam sebagai calon parti itu, keutamaan akan diberikan kepada pemimpin daripada Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP).
“Tiada permohonan rasmi daripada Uthayakumar mengenai perkara ini, jadi kita tidak boleh mengatakan dia akan dibenarkan untuk bertanding bawah lambang Pas," katanya. - UTUSAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan