Pages

31 Mac 2013

Jati tumpu usaha sedarkan rakyat tolak pembangkang

KUALA LUMPUR 27 Mac - Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali berikrar untuk memberi tumpuan kepada usaha menyedarkan rakyat supaya tidak memberi peluang kepada pembangkang menerajui Kerajaan Pusat atau mana-mana negeri.
Menurut beliau, keutamaan itu memandangkan prinsip perjuangan pakatan pembangkang yang jelas merugikan Islam, Melayu dan institusi raja-raja.
Malah, beliau turut menyifatkan mengundi pakatan pembangkang sebagai mengundang malapetaka buat rakyat hari ini serta generasi akan datang.
"Apa yang penting bagi saya bukan negeri atau Parlimen atau sama ada bertanding atau tidak.
"Bagi saya yang lebih fundamental daripada itu ialah memastikan pakatan pembangkang tidak diberi peluang oleh rakyat negara ini menerajui Malaysia dan mana-mana negeri," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengenai persoalan berhubung masa depan politiknya, Hasan berkata, beliau sehingga kini belum membuat keputusan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 sebaliknya masih meneliti situasi dan persekitaran politik semasa.
Dalam masa sama, beliau mengakui terharu dengan keprihatinan banyak pihak yang memintanya bertanding kerana mahu melihat sumbangannya kepada negeri atau negara ke arah keagungan Islam, memartabatkan Melayu serta mendaulatkan institusi raja-raja.
Katanya, beliau turut menerima cadangan bertanding di Parlimen Shah Alam atas alasan tertentu namun masih mengalu-alukan input daripada pelbagai pihak sebelum mengambil langkah seterusnya.
"Mungkin dalam beberapa waktu terdekat ini sehingga pembubaran Parlimen barulah dapat ditentukan pilihan yang paling munasabah buat diri saya dan perjuangan IMR (Islam, Melayu dan raja) melalui Jati yang saya diminta menerajuinya," katanya.
Mengenai parti atau lambang politik yang akan diwakili, Hasan berkata, beliau masih meneliti kebaikan dan keburukan bernaung di bawah parti tertentu bukan sahaja melibatkannya malah anggota keluarga, sahabat-handai, rakan seperjuangan serta seluruh anggota masyarakat.
"Diharap penjelasan ini dapat meredakan sedikit keinginan yang melonjak dalam kalangan mereka yang begitu prihatin untuk bersama-sama melihat kejayaan politik saya dan mesej IMR yang saya perjuangkan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan