Pages

6 Mac 2013

Kurang faham konsep kepimpinan Islam

PERKARA berkaitan urusan kenegaraan bukan sesuatu yang mudah untuk dikendalikan. Apabila membicarakan soal kenegaraan, kepimpinan dan pentadbiran, perkara utama yang perlu diteliti oleh umat Islam adalah memilih pemimpin yang memenuhi kriteria kepimpinan seperti mana dilaksanakan umat Islam pada masa silam.
Kehebatan kepimpinan dan ketokohan para pemimpin Islam masa silam dalam mengendalikan hal ehwal ekonomi, sosial dan politik sehingga membentuk tamadun yang hebat dalam masa singkat sepatutnya dikaji oleh umat Islam masa kini.
Kehebatan berpidato tidak semestinya menjamin seseorang itu mampu menggerakkan kemajuan ekonomi negara jika dirinya tidak memiliki ilmu dan pengalaman dalam hal ehwal sosial dan ekonomi. Kehebatan berfatwa dalam hal ehwal agama bukan bererti seseorang pemimpin politik itu memiliki tahap keimanan yang tinggi jika pemikiran dan hatinya terlalu ghairah merebut kuasa. Kadang kala sikap 'ujub (merasai diri terlalu hebat) boleh menyebabkan pemimpin politik tersasul dalam perbicaraan dan mengeluarkan fatwa.
Perkara berkaitan hal ehwal fatwa perlu diserahkan kepada orang yang pakar dalam bidang itu bukan kesemua pemimpin politik berslogankan Islam berkelayakan mengeluarkan fatwa jika tidak mendalami ilmu akidah dan fekah secara komprehensif.
Berdasarkan kepada kesukaran dalam mengendalikan urusan kepimpinan atau khalifah yang amat memerlukan pelbagai kriteria dan kepakaran seperti alim dalam ilmu wahyu, pakar dalam bidang kepimpinan dan pentadbiran serta kebijaksanaan dalam menghadapi musibah atau bahaya yang melanda negara maka Islam menegaskan bahawa gabungan umarak (pemimpin) dan ulamak (sarjana Islam) amat diperlukan dalam sistem kepimpinan Islam.
Sebagai individu Islam yang beriman dan bertakwa kepada Allah, muhasabah diri amat perlu dijadikan asas untuk mengukur kemampuan diri dalam mengendalikan urusan kenegaraan. Kurangnya muhasabah diri dan tawaduk dalam pembentukan jati diri maka umat Islam akan menjadi manusia paling angkuh apabila membicarakan soal kuasa dan kedudukan tanpa menghiraukan hukum hakam dan akhlak Islam. Realiti yang dipaparkan masa kini oleh para pejuang politik berslogankan Islam ialah kekeliruan dan ketidakmantapan dalam mempertahankan prinsip dan perjuangan. Adakah ini bentuk parti politik yang ingin menerajui kepimpinan negara?
Umat Islam sepatutnya menyedari bahawa penglibatan mereka dalam arena politik hanyalah untuk menegakkan syiar Islam yang amat prihatin terhadap keadilan, kebenaran, kebajikan masyarakat dan kemakmuran negara kerana ini merupakan konsep kepimpinan negara.
Pemahaman begini sepatutnya disemat dalam pemikiran dan hati nurani setiap ahli politik sama ada mereka itu ahli atau pemimpin parti pemerintah atau pembangkang. Jika perkara ini tersemat dalam jiwa dan pemikiran mereka maka tidak berlaku peristiwa pemimpin parti politik pembangkang memaki hamun rakyat yang mendapat wang ihsan daripada kerajaan.
Jika negara mundur dan rakyat miskin pelbagai bentuk kekufuran akan wujud dalam negara. Oleh itu setiap pemimpin perlu mahir dalam soal berkaitan sosial, ekonomi dan politik supaya perut rakyat dapat diisikan dengan makanan.
Rasulullah SAW dan para sahabat baginda merupakan orang yang mahir dalam bidang ini. Gabungan ilmu wahyu dan pengetahuan serta pengalaman berkaitan dengan perdagangan, kepimpinan, kemasyarakatan dan politik membolehkan baginda dan para sahabat membentuk sebuah negara Islam yang ideal.
Realiti yang wujud masa kini ialah umat Islam tidak sehebat baginda dan para sahabat dalam ilmu pengetahuan dan pengalaman berkaitan ilmu wahyu dan hal ehwal duniawi. Oleh itu gabungan di antara ulamak dan para pemimpin serta pentadbir amat diperlukan bagi membentuk sebuah negara Islam ideal. Jika individu itu mempunyai latar belakang pendidikan agama tetapi tidak mahir dalam perkara berkaitan kepimpinan maka lebih mulia mereka meneruskan tugas mendidik masyarakat dalam soal kerohanian daripada menceburkan diri dalam tugas yang bukan bidang mereka.
Jika mereka melibatkan diri dalam politik mereka tidak akan mampu menghadapi pelbagai cabaran dan muslihat politik. Akhirnya mereka menggunakan istilah-istilah akidah atau maki hamun kepada orang yang tidak menyokong mereka.
Sikap begini adalah bertentangan dengan akhlak Islam dan konsep kepimpinan dalam Islam di mana setiap pemimpin perlu berusaha dan gigih menyelesaikan permasalahan rakyat bukan memaki hamun rakyat apabila gagal menunjukkan kebolehan dalam kepimpinan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan