Pages

19 Mac 2013

Masyarakat mudah percaya khabar angin

DALAM kecanggihan teknologi dan pantasnya maklumat disebarkan melalui pelbagai media, antara yang paling sukar diurus ialah persepsi khalayak. Apatah lagi apabila ia berakit secara langsung dengan kepentingan awam, termasuk isu-isu keselamatan. Kejadian Lahad Datu misalnya menunjukkan kepada kita betapa cepatnya maklumat yang tidak sah disebarkan sehingga menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan pelbagai pihak.
Walau pun setakat ini pihak-pihak yang terlibat telah berjaya mengurusnya dengan baik, termasuk penyebaran gambar-gambar mereka yang terkorban mahu pun pertanyaan-pertanyaan tentang tindakan yang diambil, namun hakikatnya segelintir anggota masyarakat kita mengambil mudah tentang khabar angin yang tersebar.
Sesetengahnya pula memanjangkan lagi dalam media sosial, bertindak memberi komen-komen negatif dan tentu sahaja yang paling memilukan kita ialah apabila cepat membuat kesimpulan yang kejadian yang berlaku sebagai satu tindakan sandiwara. Semua ini menggambarkan betapa ketika berhadapan dengan isu-isu yang melibatkan kepentingan awam, pengurusan persepsi amatlah penting untuk ditangani, walau pun bukannya mudah.
Pengalaman lebih kira-kira 25 tahun dalam perhubungan awam di universiti sememangnya memberi peluang kepada penulis untuk melihat perkembangan ini dengan penuh minat. Apatah lagi apabila berhadapan dengan beberapa krisis yang terjadi dalam tempoh tersebut, misalnya berlakunya salah pengumuman akibat kesilapan teknikal ketika pengumuman nama calon-calon yang diterima mengikuti pengajian yang menyebabkan satu keadaan yang tegang selama beberapa bulan sedangkan kesilapan yang sama apabila berlaku di sebuah universiti luar negara diselesaikan dalam tempoh 24 jam.
Ini adalah kerana di negara kita ini dengan kerencaman budayanya, apa sahaja yang berlaku kerap disalah tafsir dan dianggap sebagai sesuatu yang dikaitkan dengan kaum tertentu dan menjadi amat sensitif sehinggalah apabila statistik sebenar dikeluarkan yang menunjukkan ia tidak kena mengena dengan perkauman atau disengajakan.
Khabar angin dan penyebaran berita yang tidak disahkan kerap menimbulkan masalah, malah keresahan dan perasaan tidak menyenangkan dalam kalangan banyak pihak. Apatah lagi dalam keadaan sekarang dengan pilihan raya umum yang kian dekat dan bahangnya makin panas.
Namun, janganlah menggunakan isu-isu ketenteraman awam sebagai landasan untuk dipermainkan, dijadikan bahan gelak di pentas ceramah politik atau dengan sengaja menjadi modal untuk menuding jari. Kedaulatan negara bukan isu main-main dan untuk dipermainkan. Kedaulatan negara perlu dipertahankan dengan cara apa jua pun tanpa perlu berdolak dalik.
Nyawa para wira yang terkorban menjadi bukti betapa ia adalah isu serius yang perlu disokong dan didokong oleh seluruh rakyat jelata. Biar sekecil mana pun usaha yang dilakukan, ia penting dalam menunjukkan sokongan kepada dunia dan sesiapa sahaja yang cuba bermain dengan api, bahawa ini adalah gerakan rakyat seluruhnya, yang bersatu padu dalam semangat juang yang tinggi untuk mempertahankan pertiwi.
Ini adalah masa untuk membetulkan segala pandangan serong, jika ada terhadap setiap usaha murni yang dilakukan oleh semua pihak termasuk pihak keselamatan negara. Inilah juga masa untuk menggembleng segenap kekuatan untuk memperkukuhkan kesatuan dan perpaduan. Malah inilah juga masanya untuk menggunakan kekuatan ilmu pengetahuan dalam menyusun strategi saling membantu dan mengusir mana-mana atau apa jua anasir jahat yang mengancam negara.
Manakala jika ada mana-mana pihak yang juga cuba membangunkan persepsi yang negatif terhadap sesiapa jua yang terlibat dalam usaha menjaga dan mempertahankan kedaulatan negara, ia harus ditentang dan diambil tindakan yang sewajarnya. Anak-anak muda kita misalnya perlu digembleng untuk bersama-sama membantu memainkan peranan nantinya dalam pembangunan semula dan usaha menangkis anasir yang cuba memburukkan nama baik kita melalui apa jua cara, termasuk media sosial.
Yang paling penting ialah untuk menguruskan persepsi negatif yang ada kesan dari niat jahat dan perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab. Masyarakat kini seharusnya sudah bijak untuk menilai antara yang benar dengan palsu, menyemak fakta yang diberi dan tidak mudah menerima apa jua perkhabaran termasuk dari mereka yang begitu bijak memanipulasi dan bermain dengan emosi dan kata-kata.
Malah, sudah sampai masanya untuk masyarakat menolak mereka yang sebenarnya pelakon sandiwara sebenar dan memastikan pertandingan dalam pilihan raya adalah berdasarkan fakta dan data yang realistik bukan kenyataan-kenyataan putar belit yang akhirnya akan mengancam dan menghancurkan kesejahteraan hidup rakyat seluruhnya.
Jika pengorbanan dan nyawa yang terkorban dianggap sebagai sandiwara dan sengaja dijadikan permainan emosi, apalah lagi agaknya yang begitu mudah ditafsir dan disumbatkan kepada khalayak demi membangunkan persepsi songsang yang diinginkan semata-mata untuk kepentingan diri dan kelompok sendiri, hingga terlupa terhirisnya perasaan mereka yang terlibat dalam mempertahankan negara apatah lagi rakyat seluruhnya yang terjejas akibat tuduhan tidak berasas.
Mengurus persepsi bukan mudah, malah ada ketikanya dianggap bersifat defensif, namun ia amat penting dalam memastikan keharmonian masyarakat dan negara. Masyarakat perlu belajar untuk menolak khabar angin dan fitnah. Media dan media sosial banyak manfaatnya, tetapi janganlah digunakan sewenang-wenangnya untuk menggugat ketenteraman awam untuk isu apa jua pun. Gunakanlah untuk memberikan idea-idea bernas, kreatif dan inovatif untuk mendorong kita bersama-sama menjayakan agenda pembangunan dan keselamatan awam dengan berkesan.
Media arus perdana kita walau pun sering dikritik oleh sesetengah pihak kononnya atas pelbagai alasan, namun hakikatnya jelas memainkan peranan dan memberikan gambaran jelas terhadap pelbagai kejadian yang berlaku. Malah berupaya membuka pekung mereka yang bersikap baling batu sembunyi tangan, double standard dan mengambil kesempatan dari setiap kejadian.
Kita perlu belajar dari apa yang berlaku dan memastikan bahawa pada saat-saat genting, masyarakat dan mereka yang tidak berautoriti tidak akan mengeluarkan kenyataan atau perkhabaran yang boleh menambahkan keresahan sebaliknya bersama-sama membangunkan persepsi yang boleh membantu dan memberikan kekuatan untuk semua pihak bertindak dengan cara yang terbaik menanganinya.
Kita mungkin tidak dapat bantu di medan kejadian, tetapi kita wajar membantu paling tidak dengan doa dan tindakan yang menyokong untuk kejayaan dan mempertahankan kedaulatan!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan