KUALA LUMPUR 5 Mac - Tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang seringkali menyaman media arus perdana terutama Utusan Malaysia dalam cubaan menutup kesalahannya sememangnya sudah dijangka dan tidak menghairankan masyarakat negara ini.
Walau bagaimanapun, sikap 'pilih bulu' beliau menimbulkan keraguan kerana hanya menyaman Utusan Malaysia berhubung dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah.
Bekas Ketua Ranting Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sepang Selatan, Mahful Wahid mempersoalkan agenda tersirat Anwar yang 'enggan' menyaman media Filipina, Inquirer News, Reuters dan agensi perisikan Filipina kerana mengeluarkan laporan tersebut.
"Utusan Malaysia hanya merujuk kepada laporan yang dibuat oleh ketiga-tiga pihak tersebut. Mengapa hanya saman media di negara ini dan bukan media asing? Rakyat sudah bosan dengan permainan saman-menyaman ini.
"Adakah Anwar cuba menjaga reputasinya dengan negara asing? Apa sebenarnya agenda tersirat beliau? Sehingga hari ini tidak ada penjelasan berhubung perkara ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Anwar menyaman Utusan Malaysia semalam dengan tuntutan permohonan maaf dan menarik balik kenyataan yang mendakwa dirinya mempunyai kaitan dalam kejadian pencerobohan di Lahad Datu.
Notis melalui Tetuan Daim & Gamany itu antara lain berkisar tentang laporan muka depan Utusan Malaysia bertajuk Ketua Pembangkang dikaitkan dengan pencerobohan? dan kenyataan di muka surat 10 bertajuk Tiga kumpulan jadi dalang.
Pada 14 Februari lalu, Reuters mendakwa pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu itu berlaku atas jemputan pembangkang negara ini.
Reuters memetik kenyataan seorang pegawai tentera Filipina bahawa kumpulan 150 orang diketuai Raja Muda Sulu, Raja Muda Azzumidie itu mendarat di Lahad Datu bagi membincangkan isu tuntutan tanah ekoran jemputan tersebut.
Mahful mendakwa, Anwar lebih sensitif jika terdapat laporan media yang menyentuh hal peribadinya jika dibandingkan dengan isu-isu rakyat.
"Dakwaan media asing berhubung insiden di Sabah adalah tuduhan yang serius. Menafikan sahaja tidak cukup.
"Ini soal maruah dan kedaulatan negara, mengapa Anwar ambil mudah? Apakah cukup sekadar saman media? Rakyat bukan sebodoh yang Anwar sangka. Mereka mahukan kepastian dan kebenaran," ujarnya.
Mahful turut menempelak pembangkang yang sering menjadi jaguh dalam soal kebebasan media, namun perbuatan saman itu ibarat cakap tidak serupa bikin.
"Hari-hari mereka cakap tentang kebebasan media tapi jika sesuatu laporan tidak berpihak kepada mereka, media tersebut akan disaman atau diboikot seperti sekarang.
"Saya yakin jika pembangkang mengambil tampuk kuasa, kekangan terhadap kebebasan media akan menjadi lebih teruk," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan