KUALA LUMPUR 26 Mac - Rakyat perlu menilai kredibiliti seseorang pemimpin berdasarkan kewibawaan, kecekapan, moraliti dan keupayaan memimpin agar tidak membuat keputusan yang salah semasa Pilihan Raya Umum Ke-13.
Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Chandra Muzaffar berkata, kelayakan seseorang pemimpin seharusnya adalah berasaskan nilai-nilai murni yang diamalkannya.
"Moraliti bakal Perdana Menteri akan menjadi asas kepemimpinan sesebuah kerajaan dan sekiranya rakyat melakukan kesilapan, hal ini akan merosakkan negara dan agama.
"Sebagai contoh, sekiranya bakal Perdana Menteri mempunyai permasalahan moral dan kerakusan politik, hal ini hanya akan meletakkan Malaysia dalam keadaan tidak menentu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai rakyat, khususnya orang Melayu, supaya bijak menentukan kerajaan dalam pilihan raya umum nanti.
Chandra menambah, seseorang pemimpin juga harus sanggup dan bersedia untuk mempertahankan kedaulatan, kemerdekaan, keutuhan serta maruah negara.
Beliau berkata, rakyat perlu bersikap bijak dan matang agar dapat membezakan perkara palsu atau benar serta tidak hanya terpikat dengan janji-janji kosong pihak pembangkang.
Sementara itu penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling berkata, kewibawaan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri terbukti menerusi kredibilitinya dalam mentadbir negara.
"Najib sudah melakukan banyak perkara yang positif selepas beliau mengambil alih tampuk pemerintahan negara sama ada daripada segi politik, ekonomi mahupun dalam aspek sosial.
"Sekiranya rakyat memilih pemimpin lain menjadi Perdana Menteri, hal ini merupakan satu perjudian untuk masa depan negara," ujarnya.
Tegasnya, seseorang Perdana Menteri sebenarnya memerlukan tahap kekuatan akal fikiran luar biasa, bukan sekadar menyelesaikan masalah kecil tetapi memerlukan ilmu pengetahuan dan integriti yang tinggi serta tidak bergantung kepada pihak luar. - UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan