Pages

20 Mac 2013

NKRA berjaya bantu rakyat berpendapatan rendah - PM

KUALA LUMPUR 19 Mac - Pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan menerusi NKRA bagi menangani kos sara hidup rakyat telah berjaya memberikan manfaat kepada kehidupan mereka yang berpendapatan rendah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebanyak RM2.34 bilion telah diperuntukkan bagi melanjutkan program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) termasuk kepada individu bujang, yang memberikan manfaat kepada 6 juta rakyat.
Menurut beliau, jumlah itu tidak termasuk RM524 juta yang diperuntuk bagi kepada 5.24 juta murid menerusi pemberian Bantuan Persekolahan RM100 atau Baucar Sekolah 1Malaysia.
"Bagi pelajar-pelajar yang sedang mengikuti pengajian di peringkat tinggi di universiti serta kolej pula pemberian RM250 sebagai Baucar Buku 1Malaysia memanfaatkan seramai lebih 390,000 pelajar dengan peruntukkan lebih RM97.5 juta," kata Najib ketika melancarkan Laporan Tahunan Program Transformasi Negara, di Angkasapuri, di sini malam ini.
Menurut Perdana Menteri, bagi menangani masalah rakyat yang menanggung kos kehidupan harian yang makin meningkat, kerajaan memperuntukkan RM37.8 bilion bagi membiayai pelbagai bentuk pemberian termasuk RM22.3 bilion untuk subsidi, RM873.5 juta untuk insentif dan RM14.6 bilion bagi bantuan. - UTUSAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan