BARANGKALI akibat terlalu asyik berpolitiking, maka sedikit demi sedikit perasaan insani dan peri kemanusiaan sebilangan daripada kita kian terhakis dan menghilang.
Apabila satu demi satu anggota keselamatan negara kita gugur ketika berjuang menentang pencerobohan Kumpulan Tentera Kesultanan Sulu di Lahad Datu pun mahu dijadikan bahan politik dan dituduh terlibat dalam satu lagi sandiwara yang entah apa-apa dan lagi-lagi konspirasi yang tidak sudah-sudah, ia sememangnya amat-amat sukar difahami dengan logik akal.
Berapa banyakkah lagi nyawa anggota keselamatan kita perlu dikorbankan untuk menjayakan dan menutup sandiwara ini?
Berapa ramai lagi isteri dan anak-anak anggota keselamatan ini, yang akan luluh hatinya melihat jenazah orang yang tersayang dan digantungkan segala harapan dibawa pulang di depan mata demi menjayakan satu lagi konspirasi?
Pengarah filem yang hebat manakah telah dipanggil untuk mengarah sandiwara berdarah yang boleh membabitkan lebih banyak lagi nyawa, bukan sahaja anggota keselamatan, tetapi penduduk kampung dan orang awam lainnya?
Mungkin terlalu banyak berpolitiking juga, mengakibatkan pemikiran sebahagian daripada kita menjadi celaru, hilang kewajaran dalam berfikir, lantas timbullah kenyataan dan ulasan yang bukan-bukan, pelik-pelik dan tidak nampak cerdiknya, hanya kerana mahu memenangkan mana-mana pemimpin atau parti politik.
Apakah kerana terlalu taksub berpolitik, soal keselamatan negara juga mahu diheret sama dalam kancah itu? Sudah-sudahlah.
Jika soal nyawa dan keselamatan negara pun mahu juga dipolitikkan, ini sudah begitu jelas menunjukkan kecenderungan pemimpin parti politik dan rakyat negara ini dalam mempolitikkan semua isu sudah sampai ke tahap kronik yang perlu diberi ubat dan dirawat.
Barangkali juga, mereka yang asyik berpolitiking ini, masih punya semua rasa ihsan, kasih sayang, simpati dan sedih. Cuma yang terkorban ketika melawan penceroboh itu bukan daripada kalangan darah daging mereka. Justeru dalam kepala, tidak mengapalah, kita cari lagi apa isu yang tidak kena dan belasah mana-mana pihak yang patut selagi ada ruang. Pilihan raya umum sudah dekat.
Membaca komen-komen, perdebatan dan 'analisis-analisis liar' daripada penganalisis pertahanan dan geostrategis yang tidak bertauliah di media-media sosial mengenai pencerobohan di Lahad Datu, membuatkan kita berasa kecewa dan kesal.
Inikah sikap sebenar rakyat negara ini apabila berdepan dengan hal-hal keselamatan negara yang sepatutnya ditangani secara bersama.
Kenapa kita lebih suka memilih untuk berbalah sesama sendiri, menyalahkan dan mengaitkan pihak itu dan ini, bukannya mahu bersatu dalam memberi sokongan kepada anggota keselamatan kita yang sedang mempertaruhkan nyawa di sana.
Tidakkah keadaan yang membimbangkan kita ini akan menjadi lebih baik sekiranya kita yang berbeza ideologi politik dan pendapat ini dapat bersatu demi mempertahankan tanah air tercinta ini. Adakah penyatuan ini sesuatu yang amat susah dan tidak boleh dilaksanakan?
Agak pelik di negara ini, daripada soal pemberian wang bantuan, bencana alam, isu bekalan air, kalah dalam kejohanan badminton, kanak-kanak diculik dan mati dibunuh sehingga dikata negara ini tidak selamat untuk kanak-kanak dan sehinggalah terkorbannya wira-wira negara ketika mempertahankan negara ini, semuanya mahu dipolitikkan.
Melihat wajah-wajah duka dan sugul isteri dan anak-anak yang menjadi yatim kerana kehilangan suami dan bapa dalam mempertahankan kedaulatan negara ini, tidak tersentuhkah hati kita? Tidakkah kita sedikit pun berasa terhutang budi dan berterima kasih kepada keluarga anggota keselamatan yang terkorban ini?
Dan tentunya, para isteri dan anak-anak yang suami dan bapanya masih berjuang dalam Ops Daulat, tidak lena tidur. Bimbang, resah dan sentiasa menanti berita daripada orang yang mereka sayang. Bagi si anak pula, sudah tentu fikirannya tidak tenteram semasa menjalani sesi persekolahan, memikirkan keselamatan ayahnya yang sedang berjuang. Adakah kita berani dan tabah melalui ujian getir seperti itu?
Dan sebahagian daripada kita di sini, berlagak seperti seorang jaguh di depan komputer dan telefon bimbit, terus menghentam dan berdebat seperti berperang itu satu kerja yang mudah, mungkin kerana terpengaruh dengan filem-filem perang versi Barat.
Jika kita tidak berani dan tidak juga mampu memikul tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara, adalah lebih baik kita mendoakan pasukan keselamatan kita di sana. Atau paling tidak, jika itu pun payah untuk dilakukan, duduk diam saja daripada mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak bijak dan boleh mengguris perasaan keluarga anggota keselamatan yang terkorban.
Al-Fatihah. Terima kasih kerana mempertahankan negara yang berdaulat ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan