Pages

20 Mac 2013

Pembangkang berperang isu calon tempatan

KUALA LUMPUR 17 Mac - Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong pakatan pembangkang mahukan seorang wakil rakyat yang terdiri daripada calon tempatan yang tulen dan berdaftar sebagai pengundi di kawasan tersebut.
Setiausahanya, Tan Chew Wah (gambar) berkata, wakil rakyat yang dipilih seharusnya dalam kalangan penduduk tempatan yang tentu dapat memahami masalah penduduk di kawasan tersebut.
"Ketulenan seseorang calon itu boleh diukur dengan melihat di manakah calon itu berdaftar sebagai pengundi. Kita difahamkan terdapat cadangan di peringkat DAP Selangor yang mahu meletakkan Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Zon 13, Eddie Ng sebagai calon. Kami menolak cadangan tersebut kerana beliau bukan calon tempatan.
"Kami mahukan Ahli MPKj, Tan Boon Wah diletakkan sebagai calon sekiranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong sekarang, Yap Lum Chin tidak dicalonkan semula. Boon Wah mempunyai potensi untuk menang kerana beliau ialah penduduk di sini," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Pada majlis itu, sebanyak 20 pemimpin tertinggi cawangan pakatan pembangkang yang terdiri daripada Pas, PKR dan DAP, termasuk beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut hadir dalam sidang akhbar itu bagi membantah calon bukan tempatan untuk bertanding di DUN Balakong.
Chew Wah berkata, hasrat tersebut telah disampaikan kepada Pengerusi DAP, Karpal Singh pada 23 Januari lalu, namun sehingga hari ini tiada maklum balas diterima.
"Kami tidak berpuas hati dengan masalah dalaman yang menimpa DUN Balakong dalam meletakkan calon untuk bertanding, selain konflik pakatan pembangkang yang memerintah Selangor. Ini membuktikan mereka kini berperang berhubung agihan kerusi pilihan raya.
"Setiap kali pilihan raya, DAP Selangor berdepan dengan masalah besar untuk meletakkan calon bertanding di kawasan DUN," ujarnya.
Menurut beliau lagi, pihaknya mahukan wakil rakyat yang dapat menjalankan tugas dengan baik dengan penduduk.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan