Pages

24 Mac 2013

'Pembangkang dibuai angan-angan ke Putrajaya'

IPOH 20 Mac - Pergolakan dalam pakatan pembangkang Perak yang berebut kerusi pilihan raya membuktikan para pemimpinnya terlalu dibuai angan-angan untuk mengambil alih kerajaan negeri dan Putrajaya.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, disebabkan terlalu beranggapan mereka akan menang Pilihan Raya Umum Ke-13, pemimpin pembangkang masing-masing berebut hendak bertanding.
"Saya tahu mereka berbalah, begitu juga apabila Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengumumkan akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jering yang menyebabkan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri, Dr. Muhammad Nur Manuty melenting kerana perkara itu tidak dibincangkan terlebih dahulu.
''Masing-masing hendak bertanding kerana matlamatnya ialah hendak ke Putrajaya,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.
Beliau mengulas perbalahan antara Pas dan PKR berhubung perebutan kerusi pilihan raya di Parlimen Bagan Serai dan DUN Changkat Jering.
Pas Kawasan Bagan Serai dikatakan membantah tindakan Muhammad Nur bertanding di Bagan Serai kerana parti itu juga mahu kerusi tersebut manakala PKR pula tidak bersetuju dengan pengumuman Mohammad Nizar bertanding di DUN Changkat Jering yang sebelum ini ditandingi PKR.
Zambry juga berkata, tindakan Mohammad Nizar melepaskan DUN Pasir Panjang hanya mengesahkan khabar angin yang diperkatakan sebelum ini.
Sementara itu, Dr. Zambry memberitahu, beliau tidak hairan jika Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di Perak kerana pakatan pembangkang sememangnya dianggotai pemimpin politik 'touch n go'.
Beliau berkata, pemimpin pembangkang termasuk Anwar dan Lim Kit Siang berhak bertanding di mana sahaja mereka suka kerana itu dibenarkan dalam sistem demokrasi.
"Kalau rasa mereka adalah pemimpin 'touch n go', mereka buatlah apa yang disukai. Tidak mendatangkan kehairanan kepada saya kalau itu keputusan yang mereka buat," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan