SHAH ALAM 20 Mac - Parti Keadilan Rakyat (PKR) disifatkan sebagai parti yang tidak mampu membawa rakyat ke arah masa depan yang baik ekoran krisis dalaman serius yang melanda parti tersebut ketika ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Ungku Salleh Ungku Jamal berkata, krisis membabitkan PKR itu difahamkan berlaku membabitkan pemimpin mereka, khususnya antara Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Naib Presiden PKR, Azmin Ali.
Katanya, ketidaksefahaman kedua-dua pemimpin PKR itu jelas dilihat menerusi isu saman rakyat terhadap Abdul Khalid di mahkamah ketika ini yang didakwa kurang mendapat perhatian daripada Azmin.
''Kita difahamkan, dalam isu saman tersebut, hanya Abdul Khalid sahaja yang terkial-terkial berhadapan dengan isu tersebut termasuk membuat kenyataan secara bersendirian.
''Bagaimanapun, pemimpin PKR lain seperti Azmin sendiri dikatakan tidak tampil mempertahankan Abdul Khalid. Sepatutnya, sebagai pemimpin parti yang sama, Azmin bersama-sama mempertahankan rakannya itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sebaliknya, Ungku Salleh menambah, pihak yang sering mempertahankan Abdul Khalid ialah mereka dalam kalangan pemimpin DAP di negeri ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, sekiranya PKR sendiri berhadapan dengan pergolakan dalaman yang tidak selesai sehingga hari ini, maka rakyat seharusnya membuat penilaian terhadap kemampuan sebenar PKR untuk menerajui negara dan negeri ini.
''Malah, PKR juga turut terbukti gagal membuktikan kepada rakyat dalam soal pelaksanaan janji dalam manifesto mereka. Kegagalan melaksanakan janji mereka itu adalah satu perkara yang cukup serius kepada rakyat, khususnya di Selangor. Apakah mereka (PKR) ingat akan terlepas daripada janji manifesto itu?" katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan