Pages

12 Mac 2013

Rakyat perlu pastikan BN menang dua pertiga - Najib

KUALA LUMPUR 10 Mac - Barisan Nasional (BN) yang berpengalaman mentadbir negara lebih 55 tahun sehingga meletakkan Malaysia sebagai negara membangun paling maju memerlukan sokongan padu rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sokongan padu sehingga membolehkan kerajaan BN memerintah dengan majoriti dua pertiga itu penting demi memastikan kedaulatan, keselamatan dan keamanan negara terpelihara.
"Hanya kerajaan yang kuat sahaja boleh menjamin kedaulatan, keselamatan dan keamanan negara kita," katanya ketika berucap melancarkan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Alam Damai, Cheras, di sini hari ini.
Pada 12 Februari lalu, kawasan pantai timur Sabah khususnya Lahad Datu diceroboh pengganas Sulu yang kemudian bertindak kejam membunuh anggota keselamatan negara memaksa kerajaan mengambil tindakan tegas.
Tragedi berdarah yang berlarutan lebih tiga minggu itu sehingga kini menyaksikan 53 pengganas ditembak mati dan 106 ditahan manakala di pihak pasukan keselamatan pula lapan anggota polis dibunuh dengan kejam.
Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata, sebagai sebuah kerajaan bertanggungjawab, BN tidak akan sesekali mempersia-siakan amanah rakyat sebaliknya berusaha sedaya-upaya menunaikan segala hak yang patut dinikmati rakyat.
Katanya, menerusi iltizam itu kerajaan BN menunaikan segala janji-janji yang ditawarkan kepada rakyat dan perkara tersebut tidak berlaku kepada pakatan pembangkang yang menyifatkan manifesto pilihan raya bukan janji.
"Lihat apa sudah jadi dengan janji elaun kepada ibu tunggal di Selangor? Tidak dapat. Mana elaun kepada warga emas yang mereka janjikan? Janji tinggal janji. Apa yang penduduk Kampung Buah Pala, Pulau Pinang dapat? Tidak dapat apa-apa.
"Tapi kita apabila berjanji kita tepati, bukan seperti pembangkang yang hanya sekadar menawarkan janji-janji palsu, sebab itu kita berharap dengan segala transformasi dan komitmen kerajaan selama ini rakyat dapat menghargainya," kata beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan