Presiden Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi berkata, Abby ketika ini disifatkan sebagai seorang 'Ustazah Jadian' dikatakan mampu memesongkan akidah umat Islam negara ini.
"Abby ibarat seorang ustazah tidak bertauliah yang sesuka hati mengeluarkan fatwanya sendiri seperti mana yang pernah ditunjukkan beberapa pemimpin Pas lain.
"Jadi, apabila seseorang 'Ustazah Jadian' ini berbicara, saya khuatir macam-macam perkara buruk akan terjadi ke atas anak bangsa Melayu kerana statusnya sebagai seorang artis mampu mempengaruhi sekali gus menggugat keimanan peminatnya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Zed Zaidi atau nama sebenarnya, Rozaidi Abdul Jamil mengulas kenyataan Abby yang menuduh artis negara ini sebagai golongan buta politik dan tersasar jauh dari landasan Islam serta mendakwa kebanyakan artis mempunyai ego yang tinggi sehingga lupa rezeki adalah pemberian Allah.
Dalam ceramah anjuran Pas kawasan Permas, di sini semalam, Abby juga menyifatkan rakan-rakannya dalam dunia seni yang menyertai majlis anjuran UMNO atau Barisan Nasional hanyalah sekadar untuk menghiburkan penonton dan mendapat bayaran tanpa mengambil tahu perihal politik.
Sementara itu, pengarah prolifik, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berpendapat, kenyataan Abby itu bersifat peribadi dan penuh rasa kecewa kerana tidak begitu popular sewaktu bergelar artis.
"Saya amat mengenali Abby, telah lama saya bekerja dengannya dan dari situlah saya tahu, kenyataannya itu adalah luahan rasa kecewa dan dendamnya terhadap dunia seni.
"Melihat keadaannya sekarang, saya begitu sedih apabila Abby yang pernah terlibat secara aktif dan menjadikan dunia hiburan sebagai sumber rezeki, kini menabur pasir dalam periuk nasi rakan-rakannya yang sebahagiannya adalah sahabat baiknya sendiri," katanya.
Tambah pengarah filem Mael Lambong itu, kenyataan Abby tersebut secara tidak langsung menghina, mengaibkan serta menyinggung perasaan rakan-rakannya yang terlibat dalam dunia seni tempatan.
Sementara itu, pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi mempersoalkan kenyataan Abby yang mengeluarkan fatwanya terhadap rezeki golongan anak seni.
"Rezeki di bumi Allah datang dari-Nya, bukan daripada UMNO mahupun parti-parti lain.
"Kita sebagai hamba-Nya dituntut mencari rezeki yang halal. Ada badan yang mengkaji dan menentukan pekerjaan halal mahupun haram, kerjaya sebagai artis tidak pernah diharamkan. Mengapa mahu mempertikaikan rezeki yang kami peroleh?" katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan