LAPORAN Transformasi Nasional yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Angkasapuri baru-baru ini adalah satu testimoni kejayaan dan kesannya amat memberangsangkan.
Inilah jejak rekod (track-record) sebuah kerajaan yang bertanggungjawab melakukan transformasi menyeluruh dalam bidang penggubalan dasar, strategi pelaksanaan, pengukuhan prasarana, pembangunan ekonomi dan sosial, pembangunan sumber daya insan, menyantuni kelompok miskin dan tidak berada dan mendukung strategi 'janji ditepati'.
Di antara intipati program transformasi yang diucapkan oleh Perdana Menteri adalah jumlah pendapatan negara telah meningkat kepada AS$997. Kadar kemiskinan negara menurun daripada 3.8 peratus pada 2009 kepada hanya 1.7 peratus tahun lalu. Kadar inflasi negara kekal rendah pada kadar 1.2 peratus setakat Januari 2013.
Lebih RM524 juta diperuntukkan untuk bantuan sekolah. Sebanyak RM 22.3 bilion disediakan untuk subsidi. RM 873.5 juta untuk insentif manakala RM 14.6 bilion untuk bantuan. Program 1Azam telah berjaya membantu seramai 106,967 rakyat berpendapatan rendah.
Kemampuan menawarkan 100,000 unit kediaman mampu milik dan 53,000 unit rumah penduduk miskin luar bandar dibina dan dibaik pulih.
Sumbangan Pendapatan Negara Kasar pada 2020 dijangka mencecah RM 135.64 bilion dan mewujudkan 408,443 peluang pekerjaan. Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) akan diteruskan dan dijadikan inisiatif tahunan.
Fokus dan strategi transformasi ialah untuk memacu Malaysia ke arah mencapai Wawasan Kebangsaan menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
Sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai perancangan dasar dan strategi dengan mengambil kira kemajmukan masyarakat dan menjadikan Islam sebagai elemen penting membina asas perubahan ini, testimoni ini bakal meletakkan Malaysia sebagai negara moden yang cuba membangun dan maju dalam acuan ini sendiri.
Dengan pengalaman yang kaya, penghasilan sumber daya atau model insan yang pelbagai pengkhususannya, Malaysia boleh menjadi contoh sebagai negara Islam Moden kerana mampu menghasilkan program-program patuh-syariah dalam bidang perbankan, takaful, sukuk, waqaf dan banyak lagi.
Pemahaman ini amat penting kerana dalam membuat pilihan nanti faktor track rekod ini mustahak kerana kalau kerajaan yang sifatnya menyumbang ke arah transformasi yang menyeluruh, apa bijaksana dan rasionalnya ia diubah. Kalau ada kelemahan di mana-mana ia harus diperbaiki.
Sifat bijaksana ini perlu direnungkan oleh para pemilih kerana secara bandingannya dalam dunia Islam, Malaysia sudah jauh ke hadapan membina acuannya sendiri. Melainkan Malaysia mengalami kemelesetan dalam semua sektor, kepimpinannya tidak akauntable, rasuah dan salahguna kuasa tidak boleh dibendung lagi, kemiskinan semakin ketara dan peluang-peluang untuk berubah tidak disediakan kepada rakyat khususnya generasi muda.
Tradisi Islam mengajar kita bahawa yang baik itu katakan baik dan yang tidak baik itu harus ditegur dan disantuni dengan etika yang tinggi.
Jangan mengambil sikap bahawa oleh kerana kejayaan dan kebaikan itu datangnya bukan dari kelompok kita sendiri maka kita mencari helah untuk berbeza pendirian malah mencemuh secara melulu kerana faktor politik dan kepentingan.
Tidak salah kita berbeza pandangan. Ia adalah suatu rahmah untuk menjadikan kita lebih kreatif dan inovatif. Asal saja perbezaan pandangan membawa kesan membina.
Oleh itu, proses transformasi ini tidak saja secara statistiknya menampakkan perubahan tetapi amat penting perubahan manusia berlaku seutuhnya supaya lahir manusia yang amanah, adil dan bijaksana dan berkualiti.
Bagi umat Islam, kualiti pendidikan amat perlu. Tindakan kerajaan menubuhkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia dan yang bakal mendatang Kolej Universiti al-Quran Malaysia di samping orientasi Islam di Kolej Islam negeri-negeri, ia menjadi model yang baik menghasilkan sumber daya atau modal insan yang tidak saja memberi fokus kepada orientasi diniah atau agama tetapi terbina kualiti ketamadunan yang sifatnya menyumbang ke arah program transformasi seterusnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan