Pages

31 Mac 2013

Surat Papagomo buat Wan Azizah

KUALA LUMPUR 27 Mac - Pengendali blog Papagomo yang disaman oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mengaitkan Ketua Pembangkang itu dalam video seks sejenis hari ini tampil dengan surat terbuka untuk Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Surat 14 perenggan yang disiarkan dalam laman blog http://www.papagomo.com itu antara lain mengandungi gesaan kepada Wan Azizah supaya menasihati Anwar berundur daripada pentas politik bagi mengelakkan keluarga itu diaibkan dengan lebih dahsyat pada Jumaat ini.
"Saya masih lagi menimbang untuk tidak mengaibkan Datuk Seri (Anwar). Apa yang saya mahukan adalah beliau berundur. Saya yakin jika beliau berundur secara terhormat, rakyat akan mengerti dan kagum dengan apa yang dilakukannya.
"Jumaat ini, saya harap Datuk Seri berundur. Tujuan saya mengarang artikel ini bukan dengan niat untuk mengaibkan keluarga Datin Seri (Wan Azizah), tetapi lebih kepada seorang anak yang sayangkan Datin Seri sekeluarga sesama umat Islam,'' jelas penulis blog berkenaan.
Menurut Papagomo, demi agama, bangsa dan negara, pihaknya bagaimanapun tidak ada pilihan daripada terus mendedahkan perilaku Anwar.
"Saya mewakili berjuta rakyat Malaysia mahukan pemimpin yang bersih. Atas sebab itu, saya menawarkan rundingan dengan cara berhemah agar Datin Seri sekeluarga memikirkan dengan cara yang terbaik untuk keluarga Datin Seri sendiri," ujarnya.
Menurut beliau, video berkenaan masih berada dalam tangannya dan tidak pernah diberikan kepada sesiapa kecuali pernah ditayangkan olehnya kepada beberapa rakan blogger.
"Video yang saya ada berwarna dan mempunyai audio yang jelas. Akhir kata daripada saya buat Datin Seri sekeluarga, berhenti dari terus diaibkan kerana kuasa yang diidamkan hanyalah duniawi semata-mata.
"Fikirkanlah kesan terhadap anak-anak dan cucu Datin Seri. Fikirkanlah dengan mendalam apa yang saya katakan ini. Sesungguhnya Allah maha mengasihi dan mengampuni umatnya," jelas blogger itu lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan