APALAH yang hendak digaduhkan. Nanti bila tiba hari mengundi, pangkahlah parti mana yang anda mahu. Itu pun kalau sudah mendaftar sebagai pengundi. Yang tidak termasuk dalam daftar pemilih dan tidak ada niat untuk keluar mengundi, janganlah 'lebih sudu daripada kuah'.
Kita bising dan bimbang apabila melihat banyak kejadian buli, dera dan berlagak samseng dalam kalangan pelajar sekolah didedahkan dan dimuat turun dalam media-media sosial sejak kebelakangan ini.
Kita pun tunjuk rasa kesal dan mengutuk, kenapalah budak-budak ini, kecil-kecil lagi mahu jadi samseng, sudah besar entah jadi apalah pula.
Tetapi yang tua dan dewasa dalam kalangan kita pun, ada yang 2 x 5 juga. Kalau dalam laman blog atau media sosial yang lainnya, kecoh berperang pasal menyokong parti politik masing-masing yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini. Tak habis-habis menjadi pengulas politik mengalahkan pemimpin parti politik yang serba serbi tahu dengan caci-cerca dan maki hamun.
Dan terbaru, polis memberitahu wujud kegiatan 'samseng politik' yang cuba mencetuskan huru-hara menjelang PRU-13 ini di beberapa kawasan.
Kelmarin markas sebuah parti politik di Sri Iskandar, Perak dibakar dan sebuah rumah di Klang Selatan, Selangor dibaling bom petrol dipercayai untuk memberi amaran supaya tidak mencampuri urusan politik. Sebelum itu, berlaku kes menetak seorang pekerja parti ketika memasang bendera di Kemaman, Terengganu.
Belum pun kempen secara rasmi untuk calon-calon parti politik dibuka selepas penamaan calon Sabtu ini, sudah banyak perkara buruk berlaku. Kegiatan samseng politik inilah salah satu antaranya.
Ingatlah parti mana pun yang anda sokong, sekiranya anda terlibat dalam kes-kes jenayah seperti ini, tindakan undang-undang tetap menanti. Anda tidak sama sekali kebal.
Tidak ada mana-mana pemimpin parti politik yang akan menolong pihak yang mencetuskan huru-hara ini jika sudah masuk dalam lokap polis. Ini kerana yang salah, tetap salah dan pasti dapat hukumannya.
Jadi berpada-pada dengan perbuatan. Janganlah kerana terlalu hanyut dengan ketaksuban terhadap mana-mana pemimpin dan parti politik, sehingga memudaratkan diri sendiri, menyusahkan keluarga dan menjejaskan keselamatan orang lain.
Sebab itu, apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berulang kali meminta parti-parti politik yang bertanding supaya berkempen secara sihat dan mematuhi undang-undang pilihan raya, ia janganlah terus dipandang ringan, dipersenda dan diperlekehkan.
Jika kita tidak mahu berpegang kepada undang-undang, apabila segala-galanya tidak terkawal, mahu ikut kepala sendiri dan berlakunya huru-hara, akhirnya pasti ada pihak yang dipersalahkan. Macam biasa, selalunya pihak berkuasalah yang dihalakan kemarahan. Walhal amaran dan ingatan telah diberikan.
Selain mematuhi undang-undang dalam berkempen, orang ramai juga perlu ingat kepada peraturan-peraturan yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012. Jangan melibatkan kanak-kanak dalam berkempen. Ini penting untuk menjaga keselamatan kanak-kanak itu sendiri.
Sememangnya, kita mahu ahli-ahli politik kita berpolitik secara matang. Tidak suka mana-mana pemimpin parti politik berkempen dengan caci mencaci, memaki hamun dan membuat serangan peribadi calon. Apa sahaja perilaku pemimpin parti politik yang tidak elok akan cepat dipaparkan dalam media-media sosial.
Tetapi penyokong-penyokong parti politik terutamanya yang bersifat tegar pun tidak langsung menunjukkan kematangan dalam memberikan sokongan. Mereka menganggap kempen dan PRU-13 ini kononnya tidak bersih, sedangkan yang membuat onar dan kotor itu, merekalah juga.
Mereka ini memilih untuk bergaduh, memaki hamun sesama agama dan bangsa sendiri dan rakyat seluruhnya. Mereka menganggap semua yang dilaksanakan dan ditadbir oleh kerajaan selama ini tidak betul. Kalau semuanya tidak betul, negara ini tidak semakmur sekarang dan mungkin juga mereka tidak akan ada banyak masa 'bersenang-lenang' menghabiskan masa di depan komputer, mengutuk itu dan ini.
Dan bertambah 'malang' lagi, orang seperti ini sebenarnya tidak juga turun mengundi. Pada saya, adalah lebih baik golongan yang termasuk dalam kategori ini menumpukan perhatian terhadap kerja-kerja hakiki dan menenangkan diri bersama keluarga masing-masing.
Jangan tunjuk pandai dan buat bising sehingga rakyat Malaysia memberi mandat secara aman kepada kerajaan yang dipilih pada 5 Mei nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan