Pages

2 April 2013

DAP mesti iktiraf aspirasi perjuangan Pas

KUALA LUMPUR 31 Mac - DAP mesti mengiktiraf aspirasi perjuangan Pas yang termaktub dalam perlembagaan parti itu terlebih dahulu sebelum diberi kebenaran menggunakan lambang parti tersebut dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Aktivis Pas, Norman Toha berkata, perkara pokok Perlembagaan Pas digariskan dalam Fasal 3 iaitu dasar parti ialah Islam dan Fasal 4 iaitu seruannya ialah 'Allahu akbar'.
Menurut beliau, calon-calon DAP hendaklah akur dengan Fasal 5 (1) Perlembagaan Pas iaitu "memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredaan Allah SWT".
Jelasnya, DAP juga perlu mematuhi Fasal 7 (1) Perlembagaan Pas yang menggariskan hukum tertinggi dalam pegangan Pas adalah al-Quran, sunah, ijmak ulama dan qiyas.
"Saya setuju apabila Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib menyatakan calon DAP boleh guna lambang Pas dengan syarat minta kebenaran dahulu.
"Dalam masa sama, Pas juga sepatutnya meletakkan syarat-syarat tambahan iaitu DAP mesti mengiktiraf empat fasal penting tersebut dalam perlembagaan parti," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyifatkan hasrat DAP mahu menggunakan lambang Pas dalam PRU-13 sebagai kejayaan beliau mendidik pemimpin parti tersebut.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam akaun Twitternya baru-baru ini, menyuarakan hasrat bertanding menggunakan lambang Pas sekiranya Pendaftar Pertubuhan (ROS) menggantung pendaftaran DAP yang kini disiasat ekoran dakwaan berlaku kesilapan dalam pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu Disember lalu.
Sementara itu, Naib Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berkata, Pas tidak perlu meletakkan sebarang syarat kepada mana-mana calon DAP yang ingin menggunakan lambang 'bulan' dalam PRU-13.
"Itu tanda keikhlasan Pas kepada rakan-rakan di dalam pakatan pembangkang," katanya.
Dalam masa sama, beliau menyifatkan tindakan Pas membenarkan calon DAP menggunakan lambang 'bulan' tidak merugikan Pas dan tidak menjejaskan dasar perjuangan parti itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan