Pages

24 April 2013

Enggan salam, Mazlan sifatkan Anwar pemimpin ego

BUKIT MERTAJAM 22 April - Calon Barisan Nasional (BN ) bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh, Dr. Mazlan Ismail menyifatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR ), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang pemimpin yang ego.
Mazlan berkata, tindakan Anwar semasa hari penamaan calon Sabtu lalu yang enggan bersalaman dengannya sewaktu diminta petugas media memperlihatkan kelakuan sebenar pemimpin pembangkang berkenaan.
“Selepas urusan pengesahan calon bertanding, saya dan dia (Anwar) diminta oleh jurugambar untuk merakamkan gambar kami berdua dalam keadaan bersalaman tetapi dia kelihatan tidak selesa.
“Media terpaksa meminta sehingga tiga kali baharulah dia sudi bersalaman, itu pun sekejap sahaja sebelum dia menarik tangannya dan terus berlalu dari situ," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis minum petang bersama Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) dan veteran UMNO negeri di sini hari ini.
Yang turut hadir Setiausaha Mubarak, Datuk Daud Taha bersama 30 orang veteran UMNO dan ahli parti komponen BN yang lain.
Mengulas lanjut, Mazlan berkata, Anwar juga cuba menonjolkan kepada pengikut pakatan pembangkang kononnya beliau mempunyai hubungan yang cukup erat dengan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Mohd. Salleh Man walaupun hakikat sebenarnya berbeza.
“Saya difahamkan beliau menyerahkan kepada Mohd. Salleh untuk berkempen bagi pihaknya di Permatang Pauh kerana yakin menang di kerusi itu dan mahu menumpukan aktiviti kempen di tempat lain. Kononnya beliau yakin dengan Mohd. Salleh.
“Sekiranya benar mereka mempunyai hubungan baik, tidak mungkin calon PKR dan Pas bertanding sesama sendiri di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Acheh," ujarnya.
Dalam pada itu, Mazlan berkata, beliau kini memasang strategi untuk menarik kira-kira 13,000 pengundi di Parlimen berkenaan bagi mencerahkan peluang BN untuk menang majoriti mudah sekali gus merampas Permatang Pauh daripada PKR.
“Pada pilihan raya umum 2008, kita berjaya mendapat 16,000 undi daripada jumlah keseluruhan 57,000 pengundi di situ.
“Dengan jangkaan 80 peratus akan keluar mengundi, jika berjaya capai matlamat itu, harapan untuk menang cerah," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan