Pages

6 April 2013

Guru Kemas qariah pertama tilawah al-Quran Kelantan ke peringkat kebangsaan selepas 23 tahun

Sultan Muhammad V menyampaikan hadiah kepada Radziah Ibrahim pada Majlis Tilawah al-Quran Negeri Kelantan ke-56 di Dewan Utama, Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, Kota Bharu, kelmarin. 
*****
KOTA BHARU 5 April - Seorang guru al-Quran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Radziah Ibrahim, mencipta sejarah menjadi qariah pertama Kelantan dalam tempoh 23 tahun dan akan mewakili negeri ke peringkat kebangsaan Mei ini selepas dinobatkan sebagai johan qariah Tilawah al-Quran Negeri Kelantan Ke-56 malam tadi.
Sepanjang tempoh itu, kerajaan Pas Kelantan melarang wanita menyertai majlis tilawah al-Quran, sekali gus menafikan hak para qariah berbakat meneruskan penguasaan legenda qariah negara, Faridah Mat Saman di pentas kebangsaan atas tiket negeri sendiri.
Radziah, 50, yang mewakili daerah Bachok menduduki tempat pertama dengan markah 76.65 peratus, manakala naib johan disandang Munirah Kasim, 46, (Tanah Merah dengan markah 76.32 peratus) dan tempat ketiga, Che Minah Awang, 59, (Kota Bharu mendapat markah 75.49 peratus).
Sementara itu, johan qari pula disandang oleh Zulkifli Haron, 54, dari Pasir Mas dengan markah 80.49 peratus; naib johan Abdullah Fahmi Che Nor @ Shukri, 29, (Pasir Puteh dengan markah 79.83 peratus) dan ketiga, Mohd. Nazri Daud, 33, (Tumpat dengan 78.99 peratus).
Johan kedua-dua kategori membawa pulang sebuah motosikal Modenas tajaan Mydin Holdings, RM5,000, piala iringan dan sijil penyertaan.
Manakala tempat kedua dan ketiga pula masing-masing memperoleh RM4,000 dan RM3,000, piala iringan serta sijil penyertaan.
Upacara pengurniaan hadiah kepada pemenang disempurnakan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di Dewan Utama, Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji di sini malam ini.
Yang turut berangkat Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra.
Sebanyak 21 peserta iaitu 11 qariah dan 10 qari menyertai Majlis Tilawah al-Qur'an Peringkat Negeri Kelantan Ke-56 yang berlangsung sejak 1 April lalu.
Radziah ketika ditemui berkata, dia sangat bersyukur kerana sudah menanti begitu lama peluang untuk mewakili negeri sendiri di peringkat kebangsaan sejak berkecimpung dalam bidang ini dari usia muda lagi.
Beliau yang pernah 'dilamar' mewakili negeri Pahang pada majlis tilawah al-Qur'an peringkat kebangsaan tahun 2003 berkata, inilah masanya untuk qariah Kelantan bangkit kembali setelah peluang mereka ditutup begitu lama.
"Saya pernah berpeluang bertanding mewakili daerah dua kali di peringkat negeri sebelum larangan mula dibuat kepada qariah, selepas itu keadaan menjadi suram dan akibatnya qariah tidak lagi bersemangat untuk terus menumpukan belajar taranum," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan