Pages

22 April 2013

Jangan tersilap pilih

Mukadimah
NAMA TAN SRI ZAINAL RAMPAK sememangnya satu tokoh yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Sejarah perjuangan dan jatuh bangun bersama golongan pekerja selama lebih 40 tahun telah mencatat sejarahnya yang tersendiri. Sejak 1972, beliau dilantik menjadi Pengerusi Belia cawangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan kemudian meniti tangga kejayaan sebagai Naib Presiden dan kemudian Timbalan Presiden MTUC. Zainal dipilih sebagai Presiden MTUC pada tahun 1985 hingga 2006.
Malah sebagai menghargai perkhidmatan beliau yang tidak ternilai untuk kesejahteraan dan kebajikan pekerja, MTUC memberi Zainal gelaran 'Bapa Pekerja Malaysia' pada 1 Mei 1997.
Perjuangan Zainal juga mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa dan pernah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Wilayah Asia dan Pasifik Persekutuan Kesatuan Pekerja Pengangkutan Antarabangsa.
Selain itu beliau turut terpilih sebagai ahli Badan Kerajaan untuk Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pada l993 hingga 1999.
Namun mungkin ramai yang tidak mengetahui beliau pernah terlibat dalam politik terutama di pihak pembangkang pada awal kariernya sehingga sekitar tahun 1990-an.
Bermula dengan Parti Pekemas kemudian DAP dan terakhir bersama Semangat 46, namun Zainal tidak begitu bernasib baik dalam dunia politik berbanding kesatuan pekerja.
Bagaimanapun beliau menyatakan kekesalan dengan keadaan politik semasa yang dilihat semakin tidak keruan hanya kerana ada pihak yang terlalu gilakan kuasa
Menyatakan Parti DAP sebagai satu parti yang tidak pernah ikhlas berjuang untuk kaum lain selain orang Cina, kepada wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID, Zainal turut berkongsi pandangan supaya rakyat tidak tersilap membuat pilihan dalam pilihan raya kali ini.
MINGGUAN: Bagaimana Tan Sri melihat perkembangan politik di negara ini menjelang pilihan raya tidak lama lagi?
ZAINAL: Saya melihat dalam keadaan sekarang kita perlu memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Ini kerana beliau telah melakukan segala yang terbaik untuk memberi ruang kepada usaha transformasi di negara ini. Apa yang dilakukan beliau adalah yang terbaik untuk menjamin hak dan kestabilan masyarakat di negara ini. Kita perlu lihat dari dahulu hingga sekarang kepimpinan kita telah berjaya mengekalkan kestabilan dan keamanan tanpa sebarang masalah besar. Namun satu perkara yang saya mahu nyatakan adalah kalau tidak kerana usaha Tun Dr. Mahathir terutama selepas peristiwa 13 Mei, yang telah membawa perubahan besar terhadap orang Melayu sehingga mereka kini mampu memegang pelbagai jawatan besar sama ada di dalam kerajaan mahupun swasta.
Walaupun ketika saya memimpin kesatuan pekerja hubungan saya dengan beliau ada pasang surutnya, namun saya perlu akui bahawa beliau telah banyak membawa perubahan kepada rakyat dan negara. Jika tidak kerana keazaman beliau mungkin pencapaian orang Melayu tidak sehebat sekarang. Kini perubahan telah dipikul oleh Najib melalui pelbagai fasa transformasi yang dilakukan. Malah beliau telah mengeluarkan manifesto yang begitu kemas dan tersusun serta mampu memberi perubahan kepada semua golongan rakyat. Ini yang saya tidak faham kenapa terdapat mereka yang mengata pelbagai perkara tidak elok kepada beliau sedangkan Najib cuba membawa perubahan untuk negara. Mungkin ada salah dan silap di sana sini tetapi ia masih tidak tersasar jauh dari landasan sepatutnya.
Malah saya sendiri turut sama berkempen termasuk kepada kaum Cina dan bertanya apa lagi yang mereka mahukan sedangkan semua sudah mencukupi. Semua sudah terhidang di depan mata sama ada kestabilan, pembangunan ekonomi mapan dan pelbagai lagi. Saya telah menjelajah ke seluruh dunia serta pernah bertugas di International Labour Organization (ILO) selama 12 tahun namun saya tidak pernah melihat mana-mana negara yang mampu memberikan keamanan dan kestabilan seperti di negara ini.
Tan Sri pernah terlibat dalam politik sebelum ini terutama dalam pembangkang. Boleh Tan Sri kongsikan pengalaman ini?
ZAINAL: Saya pernah terlibat dalam pembangkang bermula dengan Parti Keadilan Masyarakat Malaysia (Pekemas), DAP, Gerakan dan kemudian Semangat 46. Dalam DAP nak jadi calon mewakili orang Melayu adalah susah. Saya masih ingat semasa nak jadi calon kami semua terpaksa duduk di tepi longkang dan menunggu dari pagi hingga pukul enam petang. Kemudian mereka panggil untuk interviu dan kemudian tanya di mana kerusi nak bertanding. Kalau kita cakap nak kerusi ini namun jika dah penuh terpaksa bertanding di kawasan yang masih kosong.
Kerusi selamat sudah diambil oleh pemimpin atasan dan kami terpaksa berebut di kawasan yang boleh dikatakan tidak ada peluang untuk menang. Saya pernah bertanding menentang Datuk Seri Rafidah Aziz di kawasan Selayang sekitar tahun 1970-an namun saya kalah kerana penyokong BN begitu kuat ketika itu. Kemudian saya bertanding di Ampang menggunakan tiket Pekemas dan kemudian sekali di kawasan yang sama menggunakan tiket Semangat 46.
Apakah Tan Sri mendapat keistimewaan dari DAP sebagai calon atau sebenarnya hanya sekadar mencukupkan kuota?
ZAINAL: Saya berterus terang bahawa orang Melayu umpama dianaktirikan berbanding orang Cina di dalam parti itu. Mereka juga sebenarnya takut meletakkan calon Melayu di kawasan majoriti Cina kerana takut kalah. Ini kerana persepsi DAP jika letak calon Melayu di kawasan majoriti Cina, parti akan kalah, satu pandangan yang nyata bersikap perkauman. Jika kita lihat dari sudut konsep Malaysian Malaysia adakah ia benar-benar sejajar dengan keadaan semasa di tanah air.
Ini yang menimbulkan persoalan kerana jika mereka benar-benar ikhlas dengan konsep tersebut sudah tentu mereka boleh meletakkan calon dari mana-mana kaum pun untuk bertanding dalam pilihan raya. Pada peringkat awal kemasukan saya dalam DAP, saya menjangkakan akan diberi layanan baik oleh parti itu namun itu tidak berlaku kerana seolah-olah masih terdapat perbezaan antara pemimpin Cina dan orang Melayu.

Pada ketika itu kenapa terdapat orang Melayu menyertai DAP?
ZAINAL: Ketika itu tidak ada platform untuk kami menyertai dan bergerak aktif dalam politik. Kami turut tidak diberi ruang untuk bergerak aktif dalam parti memerintah ketika itu. Jadi kami tidak ada tempat untuk mengetengahkan isu-isu berkaitan golongan pekerja, masyarakat yang tidak bernasib baik dan sebagainya. Keadaan ketika itu adalah jauh berbeza berbanding sekarang yang lebih bebas dan terdapat pelbagai pelbagai platform yang boleh digunakan untuk tindakan lanjut. Jadi langkah terbaik adalah masuk DAP sebagai langkah perjuangan tetapi kami dapati parti itu bukanlah platform sesuai untuk memperjuangkan agenda kami kerana ia lebih tertumpu kepada isu kaum Cina sahaja.
Asal usul penubuhan DAP adalah cuba mempraktikkan idea Malaysian Malaysia dan masyarakat perlu faham sejauh mana mereka ikhlas dalam membantu kaum lain. Kita perlu bersikap matang dan terbuka dalam menilai sejauh mana mereka bersungguh-sungguh dalam berjuang untuk semua kaum kerana kita boleh lihat keadaan di Singapura yang ternyata berprinsip lebih kurang sama dengan DAP. Parti itu adalah serpihan PAP yang kini begitu dominan di Singapura. Malangnya anak muda sekarang tidak berminat mengkaji sejarah bagaimana semua ini berlaku.
Bila Tan Sri sedar perjuangan di dalam DAP adalah satu usaha yang sia-sia?
ZAINAL: Saya tersedar selepas bertanding pada pilihan raya 1974 apabila melihat sendiri peranan DAP yang langsung tidak membantu ketika berkempen. Ketika itu pemimpin besar mereka Lim Kit Siang tidak ada membantu. Tan Sri Lee Lam Thye ada membantu saya berkempen ketika itu sedangkan beliau bukan berjawatan besar. Saya melihat kebanyakan pemimpin mereka tidak benar-benar mahu melihat calon Melayu menang dalam pilihan raya dan itu sebabnya mereka tidak membantu. Kemudian saya melihat satu demi satu calon-calon Melayu digugurkan dari pilihan raya kerana mereka tidak begitu memerlukan orang Melayu di dalam parti itu. Mereka hanya memerlukan orang Melayu pada masa-masa tertentu sahaja.
Kalau kita boleh umpamakan mereka hanya nak menunjuk kepada orang ramai bahawa dalam DAP ada orang Melayu tetapi hakikatnya mereka ini hanya dipergunakan apabila perlu sahaja. Bila tak diperlukan orang Melayu ini akan dipinggirkan seolah-olah jasa dan bantuan yang diberikan langsung tidak bernilai pada pandangan mereka. Sedangkan mereka memperjuangkan prinsip Malaysian Malaysia namun saya tersedar bahawa prinsip itu hanyalah satu retorik yang dipergunakan semata-mata untuk menunjukkan bahawa mereka boleh bekerjasama dengan semua bangsa sedangkan itu semua hanya mainan politik mereka semata-mata.
Selepas Pilihan Raya 2008 keadaan politik Malaysia berubah sama sekali dan budaya politik baru cuba ditampilkan terutama yang melibatkan hak dan keistimewaan orang Melayu dan Islam cuba disingkirkan secara perlahan-lahan. Bagaimana Tan Sri melihat perkara ini?
ZAINAL: Bagi saya perjuangan dalam mempertahankan hak Melayu dan Islam di negara ini masih perlu dilakukan dan ia tidak ditukar hanya kerana mahu memenuhi kehendak beberapa golongan minoriti. Ini kerana di negara ini orang Melayu dan bumiputera adalah majoriti dan ia perlu dipertahankan bersesuaian dengan keadaan ini. Perjuangan ini masih relevan dan perlu dipertahankan sampai bila-bila. Kita jangan lupa perkara ini dan saya sering mengingatkan rakan-rakan bahawa pilihan raya yang bakal menjelma ini merupakan penentu masa depan dan kedudukan orang Melayu dan Islam.
Saya tidak mahu seperti perumpamaan Melayu, sudah terhantuk baru nak mengadah. Jika kita buat kesilapan dalam pilihan raya ini kita bukan sahaja terhantuk malah terduduk dan kemudian menyesal tak sudah. Inilah yang perlu kita ingatkan bahawa jangan bersikap terlalu emosi dalam politik kerana kita perlu melihat semua perkara secara terbuka dan jelas. Namun apa yang berlaku hari ini adalah akibat dari sikap segelintir orang Melayu itu sendiri yang membuka ruang kepada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
Apabila sudah membuat kesilapan yang akan menanggung akibat adalah generasi akan datang dan mereka akan mempersoal kita kenapa kita buat perkara yang tidak sepatutnya. Oleh itu saya melihat supaya masyarakat Malaysia berfikir dengan mendalam sebelum membuat keputusan dalam pilihan raya kali ini kerana ia melibatkan soal masa depan agama, bangsa dan negara. Kita bukan sahaja membuat keputusan untuk diri sendiri tetapi melibatkan masa depan anak cucu kita.
Mungkin Tan Sri boleh memberi komen tentang sikap dan cara politik pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim?
ZAINAL: Saya mengenali beliau agak rapat ketika beliau muda dahulu selain Datuk Ibrahim Ali. Kami sering sahaja bersama ketika forum di universiti dan berkongsi perjuangan terutama melibatkan golongan pekerja. Kami sama-sama berjuang dan saya melihat beliau mampu menjadi pemimpin pada masa depan. Namun saya tidak sangka sama sekali beliau akan menjadi begitu dan akhirnya tersingkir dari UMNO.
Saya mahu berkongsi pengalaman ketika pemilihan MTUC bilamana pemimpin PKR Tian Chua tiba-tiba berkempen kepada wakil-wakil kesatuan pekerja sedangkan dia tidak ada kaitan langsung dengan Kongres MTUC. Dia mengucapkan tentang mesej dari Sungai Buluh. Kamu boleh mengundi sesiapa sahaja yang kamu mahu tetapi jangan sekali-kali mengundi untuk Zainal Rampak. Mesej ini dinyatakan kerana saya tidak menyokong Anwar ketika itu.
Saya pernah bercakap sendiri kepada Anwar ketika beliau datang membuka bangunan MTUC pada tahun 1998, “Jangan sekali-kali meminjam wang kepada IMF dan World Bank kerana ia adalah ceti terbesar di dunia. Mereka akan mengawal negara ini dan kita akan menjadi papa kedana,". Saya tahu tentang ini kerana saya pernah duduk di dalam ILO. Wajah beliau berubah ketika itu kerana saya secara terbuka menyatakan tidak menyokongnya. Itu sebabnya kemudian dalam pemilihan MTUC, Anwar telah bertindak mengarah perwakilan supaya tidak mengundi saya. Kini saya semakin terkejut dengan perubahan sikap dan pemikiran beliau terutama dalam perkara melibatkan Islam dan isu Melayu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan