Pages

6 April 2013

Manifesto BN janjikan masa hadapan lebih gemilang

KUALA LUMPUR 6 April - Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin manifesto Barisan Nasional (BN) yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Stadium Putra Bukit Jalil di sini malam ini, pasti menjanjikan masa hadapan yang lebih gemilang untuk negara bagi tempoh lima tahun akan datang.
Timbalan Perdana Menteri berkata, rakyat Malaysia seharusnya mendengar dan meneliti manifesto BN serta membandingkannya dengan manifesto yang diumumkan pakatan pembangkang pada 21 Mac lalu.
"Kita tunggu apa yang akan dikatakan oleh Perdana Menteri malam ini. Ini upacara yang serius, bukan ceria untuk berpesta. Sesuatu yang hendak disampaikan BN untuk tempoh lima tahun akan datang kepada seluruh rakyat Malaysia.
"Bagi saya, manifesto ini satu perjanjian antara BN dengan rakyat yang akan membawa lebih banyak kebahagiaan, nikmat pembangunan dan kemajuan, lebih-lebih lagi tempoh lima tahun akan datang begitu penting untuk kita capai fasa negara maju,’’ katanya pada sidang akhbar selepas program turun padang di sekitar Kondo Rakyat Desa Pantai, Lembah Pantai di sini hari ini.
Yang turut hadir, isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar merangkap Pengerusi BN Parlimen Lembah Pantai, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.
Muhyiddin dan Norainee yang tiba pada pukul 9 pagi meluangkan masa kira-kira 20 minit beramah mesra dengan penduduk dan peniaga di sekitar kawasan Kondo Rakyat Desa Pantai sebelum bersarapan pagi bersama orang ramai. - UTUSAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan