Pages

17 April 2013

Mazlan sedia mental, fizikal hadapi Anwar

Mazlan sedia mental, fizikal hadapi Anwar 
 PENGERUSI BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow (kiri) menyerahkan watikah lantikan kepada Mazlan disaksi Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi (dua dari kanan) pada majlis di Bayan Baru, Pulau Pinang.- Foto Rosli Ahmad
*****
Bukit Mertajam: Ayam tambatan Barisan Nasional (BN) Parlimen Permatang Pauh, Dr Mazlan Ismail, 53, sudah bersedia mental dan fizikal untuk mencabar Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di kawasan itu.

Meskipun sedar bukan mudah meruntuhkan kubu pembangkang yang dibina sejak bertahun-tahun lalu dan lawannya bukan calang-calang orang, ia bukan penghalang kerana matlamatnya mahu menjadi pemimpin mensejahterakan rakyat.
Kesediaan anak kelahiran Kubang Ulu, Penanti, menyahut cabaran jelas terbukti apabila sanggup melepaskan jawatan sebagai Naib Presiden Telekom Malaysia Bhd (TM) bagi membawa harapan besar rakyat Parlimen Permatang Pauh.

Berjuang bersama BN
Bekas ahli PAS yang menekankan keseimbangan antara dunia dan akhirat itu, memilih perjuangan bersama BN bagi melihat kawasan kelahirannya membangun seperti kawasan lain, sekali gus menjadi bekalan di akhirat kelak.

Beliau melihat Anwar dan isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail sebagai pemimpin ‘touch n go,’ iaitu sekadar bertanding untuk menang dan selepas itu balik ke Kuala Lumpur dengan hanya sekali sekala pulang ke kawasan.

“Sejak 15 tahun lalu, apa yang mereka buat? Mereka tak berkhidmat kepada rakyat, bahkan tiada satu pun pembangunan dilaksanakan.
“Jika sekali lagi orang Permatang Pauh bagi undi kepada beliau, tak mustahil beliau akan jadi pemimpin ‘smart tag’ pula, lalu (bertanding) saja, tak payah buka tingkap pun (khidmat kepada rakyat) sebab tahu buat apa nak bagi kerana akhirnya rakyat sokong juga,” katanya.

Calon tempatan
Berbanding dirinya, Mazlan berkata, beliau adalah anak tempatan yang dilahirkan dan dibesarkan di kawasan itu serta pernah merasai kesusahan kerana berasal daripada keluarga kurang berada.

Bapanya seorang pemandu bas, manakala ibunya penoreh getah dengan adik-beradik lapan orang.

“Saya ada di sini (Permatang Pauh), tinggal dan akan mati juga di sini. Saya tak ada pilihan, melainkan berkhidmat kepada rakyat yang semua mereka terdiri daripada ahli keluarga, adik-beradik dan rakan,” katanya. 
 
 http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Mazlansediamental_fizikalhadapiAnwar/Article/ | hwa - 17/4/13

Tiada ulasan:

Catat Ulasan