Pages

4 April 2013

HADIRIN khusyuk mendengar bacaan salah seorang qariah pada Majlis Tilawah Al-Quran peringkat negeri Kelantan di Kompleks Islam Panji, Kota Bharu malam tadi. - UTUSAN/ASMA HANIM MAHMOOD
QARIAH termuda, Wan Sofea Aini Wan Mohd. Zahidi, memperdengarkan bacaan pada Majlis Tilawah Al-Quran peringkat Kelantan di Kompleks Islam Panji, Kota Bharu malam tadi. - UTUSAN/ASMA HANIM MAHMOOD
*****
KOTA BHARU 3 April - Setelah dinafikan hak mereka sejak Pas Kelantan menjadi kerajaan negeri pada 1990, enam qariah mencipta sejarah mengulangi langkah yang pernah dilalui legenda seperti Faridah Mat Saman apabila dibenarkan memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran di pentas yang sama sebagaimana kaum lelaki.
Enam qariah tersebut termasuk johan menunggu, Zainab Che Daud, 68, adalah antara 11 peserta yang memperdengarkan bacaan mereka pada malam pertama Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Kelantan Ke-56 di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji di sini malam tadi.
Kekangan selama 23 tahun itu dipecahkan tepat pada pukul 9.30 malam apabila Fatimah @ Norma Deraman, 52, yang merupakan peserta kedua mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran dari surah al-Ahzab yang berkaitan larangan wanita mendedahkan aurat dan bercakap lemah lembut di hadapan lelaki bukan mahram.
Seramai 10 qari dan 11 qariah menyertai majlis tilawah peringkat negeri tahun ini yang berlangsung dari 1 hingga 4 April ini. Sultan Muhammad V dijangka mencemar duli menyampaikan hadiah pada malam terakhir.
Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub.
Sementara itu, Faridah, 64, yang hadir mengikuti perjalanan majlis sejak malam perasmian lagi menyatakan rasa terharu beliau kerana akhirnya dapat melihat kebangkitan semula golongan qariah negeri ini yang selama ini telah dipinggirkan kerajaan negeri pada saat beliau masih hidup lagi. - UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan