Pages

20 April 2013

PRU-13: Kenyataan penuh reaksi Shahrizat isu Kamilia tanding Bebas

KUCHING 20 April - Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini mengeluarkan kenyataan berhubung pendirian beliau dan pergerakan itu terhadap tindakan naibnya, Datuk Kamilia Ibrahim bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar.
Beliau membuat kenyataan itu dari Kota Samarahan, Sarawak, setelah menghadiri penamaan calon, Rubiah Wang sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Kota Samarahan.
Berikut kenyataan penuh Shahrizat:
Perkara: Isu Dato' Kamilia Ibrahim, Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia menjadi Calon Bebas Parlimen Kuala Kangsar
Kuching, 20 April 2013 - Saya selaku Ketua Wanita Barisan Nasional merangkap Ketua Wanita UMNO Malaysia, serta semua ahli Wanita UMNO dan BN, rasa teramat kesal dan kecewa di atas tindakan Dato' Kamilia bertanding di atas tiket Bebas di Parlimen Kuala Kangsar setelah beliau tolak tawaran BN untuk bertanding kerusi DUN Bukit Chandan seperti yang diperjelaskan oleh YAB Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO pada 18hb April 2013.
Dato' Kamilia telah buat keputusan ini dengan sendiri sekali gus melanggar peraturan disiplin UMNO dan BN dan akan menghadapi tindakan tegas seperti yang diumumkan oleh Pengerusi BN dan Timbalan Pengerusi BN.
Selama empat tahun, saya telah tentukan dan kemaskinikan satu sistem jentera wanita pilihan raya umum yang sistematik dan mantap untuk Wanita UMNO dan Wanita BN, termasuklah untuk menghadapi apa jua situasi yang luar biasa (contingencies).
Jentera Wanita ini yang dinamakan Jentera Jalinan Rakyat (JR) telah bertugas di semua peringkat, terutama diperingkat akar umbi dengan baik, penuh komitmen dan Kesetiaan kepada perjuangan Parti, walaupun menghadapi pelbagai cabaran termasuk tidak dapat peluang untuk menjadi calon. Ini adalah kerana perjuangan mereka ikhlas, tidak pentingkan diri , dan sabar dalam perjuangan.
Jentera Jalinan Rakyat akan berjalan dengan penuh disiplin tidak kira sesiapa pun yang membelot atau mengkhianati parti kerana kepentingan diri sendiri.
Jentera Jalinan Rakyat di Kuala Kangsar berjalan dengan baik di bawah kepimpinan Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian yang selepas ini akan memangku jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Kangsar.
Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada kepimpinan dan semua ahli Wanita UMNO Bahagian Kuala Kangsar kerana di saat mereka diduga, mereka menunjukkkan semangat kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada UMNO dan Barisan Nasional, terutama di kala kita menghadapi PRU-13 ini.

DATO' SRI SHAHRIZAT ABDUL JALIL
Ketua Pergerakan Wanita UMNO
20 April 2013
Kota Samarahan, Sarawak
- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan