Pages

6 April 2013

PRU-13: Visi Najib jadikan Malaysia lebih baik

KUALA LUMPUR 3 April - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau mempunyai visi untuk terus menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih baik termasuk memastikan sektor ekonomi mampu berkembang pesat.
Perdana Menteri berkata, ini bagi membolehkan bidang perniagaan mendapat keuntungan berganda selain lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan serta meningkatkan taraf hidup rakyat.
"Atas sebab itulah kerajaan memperkenalkan transformasi politik yang dapat menjamin keselamatan serta kebebasan dan memastikan rakyat berbilang kaum terus bersatu agar Malaysia kekal stabil dan makmur.
"Pencapaian kami (kerajaan) selama ini telah membuktikan bahawa kami adalah kerajaan yang menepati setiap janji kepada rakyat," katanya seperti dipetik menerusi blognya, http://www.1malaysia.com.my hari ini.
Walaupun mengakui masih banyak lagi perkara yang perlu dilakukan, namun kata Najib, negara telah mencapai pelbagai peningkatan sejak empat tahun kebelakangan ini.
Malah jelasnya, kerajaan menjangkakan Malaysia akan menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2018 iaitu dua tahun lebih awal daripada sasaran Wawasan 2020.
"Sudah tentu peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tidak cukup untuk menilai sesuatu pembangunan. Kejayaan ekonomi semata-mata sudah pasti tidak mencukupi kerana apa yang lebih penting masyarakat itu sendiri yang perlu merasai sesuatu pembangunan.
"Sebagai contoh, rakyat perlu diberi peluang untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan masing-masing, tidak kira apa pun bangsa serta kepercayaan mereka. Mereka perlu sentiasa berasa selamat berada di dalam komuniti Malaysia selain mendapat bekalan air bersih dan infrastruktur jalan yang berada dalam keadaan baik," kata beliau.
Menurutnya, dalam tempoh empat tahun ini, kerajaan telah mengambil pelbagai langkah bagi memastikan setiap hasrat rakyat itu mampu dicapai selain 84 peratus daripada kontrak yang dikeluarkan kerajaan telah mendapat penilaian pencegahan rasuah.
Kadar jenayah pula katanya, telah menurun hampir 10 peratus manakala lebih 3,500 kilometer jalan baharu telah dibina dan kira-kira 200,000 buah rumah disalurkan dengan bekalan air bersih.
"Kita memang benar-benar sedang melakukan perubahan. Dengan mandat yang kukuh daripada rakyat, kita mampu melaksanakan tugas ini dengan baik. Pilihan raya kali ini bukan lagi mengenai masa lampau, sebaliknya mengenai masa depan kita bersama.
"Segalanya adalah mengenai impian kita untuk melihat hala tuju negara. Anda perlu membuat pilihan untuk masa depan negara yang kita cintai. Sebelah pihak bersifat pesimistik dan berpecah belah manakala sebelah pihak lagi lebih jelas serta optimistik terhadap masa depan," tambahnya.
Katanya, pihak sebelah sana juga tidak bersedia serta sering menabur janji-janji manis manakala sebelah pihak lagi telah terbukti mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik.
Oleh itu dengan rendah hati, beliau menyeru rakyat agar terus memberikan sokongan terhadapnya bagi bersama-sama mewujudkan sebuah negara yang lebih baik.
"Seperti juga Allahyarham ayahanda saya sebelum ini, saya telah menyerahkan segala-galanya kepada rakyat dan negara. Sekiranya diperlukan, saya bersedia untuk terus berbakti kepada semua. Ini adalah waktu penting dalam sistem demokrasi negara.
"Sama ada anda adalah pengundi kali pertama atau telah mengundi sebelum ini, masanya telah tiba untuk menentukan masa depan negara. Saya harap anda membuat pilihan yang tepat," jelasnya. - UTUSAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan