Pages

6 April 2013

Rancang bunuh: Zainon lega selepas mohon maaf kepada Dr. Mahathir

DR. Mahathir Mohamad bersama Zainon Ismail (lima dari kiri) dan Abdullah Saamah (enam dari kanan) serta wakil-wakil NGO dan ulama pondok dalam pertemuan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, semalam. 
*****
PUTRAJAYA 3 April - Sekumpulan ulama pondok yang sebelum ini penyokong tegar Pas termasuk percaya ahli UMNO sebagai orang kafir memohon maaf kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Selain itu turut meminta maaf dengan Dr. Mahathir hari ini ialah Zainon Ismail atau C.N. Al-Afghani yang mengakui pernah merancang untuk membunuh bekas Perdana Menteri tersebut bagi mempercepatkan proses pemerintahan Pas.
Zainon berkata, beliau berasa lega selepas memohon maaf daripada Dr. Mahathir dan sedar bahawa dasar-dasar Pas sebelum ini adalah tidak betul.
"Pada Januari 2003, Haji Hadi (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) nyatakan Perlembagaan daripada penjajah boleh digunakan oleh barisan alternatif dan ini bermakna dia pun setuju Perlembagaan yang digunakan oleh kerajaan Dr. Mahathir adalah betul.
"Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Lim Guan Eng juga bersetuju andainya menang Pilihan Raya Ke-13 (PRU-13), mereka tidak laksanakan hudud. Ini bermakna kerajaan sedia ada telah pun betul.
"Kita juga ada fakta bahawa banyak perkara yang dilakukan pakatan pembangkang di Selangor, Kelantan, Pulau Pinang dan Kedah adalah tidak betul," katanya kepada pemberita selepas memohon maaf kepada Dr. Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Dalam pada itu, Penasihat Minda Pondok, Abdullah Saamah berkata, beliau dan ulama-ulama pondok yang lain berasa banyak bersalah dan perlu memohon maaf supaya tidak mahu mati bersama kesilapan yang dilakukan.
"Untuk keselamatan orang Melayu dan Islam, kita perlu bersama-sama dengan Barisan Nasional (BN) dan UMNO. Oleh itu kami datang ke sini," katanya.
Antara wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang hadir untuk meminta maaf kepada Dr. Mahathir ialah Ikatan Cendekiawan Islam, Persatuan Minda Pondok dan Aktivis Ustaz Muda Membela Agama dan Tanah Air (Ummati).
Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak menyimpan dalam hati segala kesilapan yang pernah dilakukan orang lain terhadap dirinya.
"Ini cuma salah faham. Kita sebagai manusia tidak bebas daripada melakukan kesilapan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan