KUALA LUMPUR 2 April - Barisan Nasional (BN) bersedia berhadapan dengan sesiapa sahaja di Parlimen Temerloh dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) akan datang termasuk Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan.
Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, keyakinan itu berikutan jentera pilihan raya umum termasuk sukarelawan parti tersebut kini sudah bersedia dan bersemangat tinggi dalam memastikan kemenangan BN.
"Saya telah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Nasrudin tadi untuk mengucapkan tahniah kerana dipilih bertanding dan selamat datang ke Temerloh.
"Kalau saya yang bertanding di Temerloh, saya akan berkempen secara sihat, sama seperti masa saya bertanding dengan Ahmad Nizam Hamid dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum 2008," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mengumumkan bahawa Nasrudin akan bertanding di kerusi Parlimen Temerloh.
Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi menjelaskan, berdasarkan rekod perkhidmatan BN di Temerloh, beliau yakin pengundi akan terus menyokong parti pemerintah tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan