Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri
Ahmad Said (tengah) bergambar bersama barisan Exco baharu dari kiri,
Ghazali Taib, Nawi Mohamad, A. Rahman Mokhtar, Datuk Ahmad Razif Abdul
Rahman, Datuk Tengku Putera Tengku Awang, Datuk Mohd. Jidin Shafie, Rozi
Mamat, Rosli Othman, A. Latif Awang dan Roslee Daud selepas Istiadat
Perisytiharan Pelantikan Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat
Kerajaan Negeri Terengganu di Istana Maziah Kuala Terengganu, semalam.
*****
Mereka juga percaya mampu memberi komitmen tinggi atas kepercayaan kerajaan negeri bagi memastikan rakyat berpeluang menikmati pembangunan yang dilaksanakan kerajaan.
Di samping itu, mereka berjanji meneruskan perjuangan serta agenda kerajaan supaya apa yang terkandung dalam manifesto kerajaan Barisan Nasional (BN) dapat direalisasikan demi kepentingan rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian & Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat negeri, A. Latif Awang menyifatkan pelantikan beliau merupakan mandat kepimpinan kerajaan supaya dapat menabur bakti kepada rakyat untuk tempoh lima tahun akan datang.
"Ini juga bagi memenuhi agenda yang dijanjikan sebagai manifesto kerajaan negeri selain untuk meneruskan manifesto Kerajaan Pusat supaya rakyat Terengganu dapat menikmati pembangunan yang disediakan kerajaan.
"Saya juga dapati Terengganu mempunyai terlalu banyak potensi dan kelebihan yang perlu kita bangunkan termasuk dalam bidang ekonomi, sumber manusia, pembangunan sosial selain meningkatkan fasiliti demi kepentingan rakyat," kata ADUN Pengkalan Berangan itu.
Beliau ditemui pemberita selepas selesai Istiadat Perisytiharan Pelantikan Menteri Besar dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu di Istana Maziah di sini, hari ini.
Bagi Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib, beliau yakin berupaya membangunkan lagi bidang pendidikan di negeri ini berdasarkan strategi serta perancangan yang bakal dilaksanakan.
"Kalau (bidang) pelajaran, memang bidang saya, 26 tahun (pengalaman) saya dalam bidang pendidikan, termasuk di peringkat pengajian tinggi pun saya terlibat dalam pelajaran.
"Menteri Besar sudah maklumkan saya perlu bina satu pasukan sebagai penasihat bagi melaksanakan kerja saya dalam bidang pendidikan serta lain-lain bidang berkaitan," jelasnya.
Ditanya mengenai persediaan beliau melaksanakan tanggungjawab berkaitan hal ehwal agama yang diserap di bawah tugas-tugas khas, Ghazali berkata, setakat ini, beliau sedang merangka pasukan yang dianggotai tokoh-tokoh agama sebagai panduan.
Bagi ADUN Bukit Besi, Roslee Daud pula, beliau berjanji akan cuba sedaya upaya menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan.
Roslee dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi negeri.
"Saya berterima kasih kepada penyokong dan pucuk pimpinan BN kerana meletakkan saya bertanding di kerusi DUN Bukit Besi dan seterusnya membawa kemenangan kepada BN.
"Sehubungan itu, apabila disenaraikan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, saya akan cuba sedaya upaya mengambil tanggungjawab yang telah diamanahkan ini," katanya.
Roslee memenangi kerusi DUN Bukit Besi dalam PRU-13 selepas menewaskan calon Pas, Roslan Ismail dengan majoriti 2,558 undi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan